Piala Dunia 2026: Neymar kembali perkuatkan skuad Brazil

Pengurus skuad Brazil, Carlo Ancelotti menyenaraikan penyerang Neymar Jr dalam skuad tersebut bagi memburu kejuaraan Piala Dunia buat kali ke-6 / REUTERS

RIO DE JANEIRO, 18 Mei – Penyerang sensasi, Neymar, secara rasminya kembali ke pentas bola sepak antarabangsa selepas dinamakan dalam skuad Brazil bagi menghadapi kempen Piala Dunia bulan depan oleh pengurus pasukan, Carlo Ancelotti, pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan itu mengakhiri spekulasi mengenai masa depan Neymar selepas dipinggirkan ekoran kecederaan serius sejak 2023.
  • Kehadiran Neymar memberi talian hayat untuk peluangnya beraksi di pentas Piala Dunia selepas fasa kelayakan sukar akibat kecergasan.
  • Ancelotti menegaskan pemilihan berdasarkan penilaian objektif tahap kecergasan dan prestasi, bukan atas dasar sentimen atau nama besar.
  • Prestasi dan kecergasan Neymar dipersoal selepas musim hambar di Al Hilal dan kepulangan kurang menyerlah ke Santos.

Keputusan itu sekali gus mengakhiri spekulasi mengenai masa depan penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Brazil itu, yang sebelum ini dipinggirkan akibat siri kecederaan serius sejak tahun 2023.

Kehadiran pemain berusia 34 tahun itu memberikan talian hayat buat dirinya untuk kembali beraksi di pentas terbesar bola sepak dunia selepas melalui fasa kelayakan yang amat sukar akibat masalah kecergasan.

Kepulangan Neymar amat ditagih tatkala juara dunia lima kali itu sedang memburu misi melengkapkan gelaran rekod kejuaraan keenam mereka.

Pengumuman itu dilakukan oleh Ancelotti dalam satu majlis gilang-gemilang yang dihadiri puluhan pengamal media, barisan selebriti serta diserikan dengan persembahan muzik di Muzium Masa Depan (Museum of Tomorrow), Rio de Janeiro.

Sebelum pengumuman dibuat, timbul tanda tanya sama ada pengendali dari Itali berusia 66 tahun itu akan menyenaraikan Neymar, memandangkan beliau langsung tidak pernah memanggil bekas bintang Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG) itu sejak mengambil alih tugas melatih Brazil tahun lalu.

Bagaimanapun, Ancelotti menegaskan bahawa beliau tidak mementingkan status nama besar atau faktor sejarah lampau dalam menentukan senarai akhir barisan pemainnya.

Menurutnya, pemilihan Neymar adalah bersandarkan penilaian objektif terhadap tahap kecergasan dan prestasi semasa, bukannya atas dasar sentimen semata-mata.

Neymar, yang telah meledak 79 gol sepanjang karier antarabangsanya, tidak lagi kelihatan menyarung jersi kuning keramat Selecao sejak tahun 2023.

Prestasi dan tahap fizikalnya sering dipersoal oleh penganalisis sukan susulan hambar akibat kecederaan ketika menyertai kelab Arab Saudi, Al Hilal.

Perkara berkenaan disusuli kepulangan yang kurang menyerlah bersama kelab zaman kanak-kanaknya, Santos, tahun lalu.

Namun, pengumuman terbaharu itu membuktikan Neymar berjaya meyakinkan Ancelotti tepat pada masanya untuk mengetuai jentera serangan Brazil di kejohanan berprestij itu bulan depan. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.