
RIO DE JANEIRO, 19 Mei -Pengurus skuad kebangsaan Brazil, Carlo Ancelotti, menegaskan pemilihan Neymar ke Piala Dunia bulan depan adalah berdasarkan peningkatan fizikal yang konsisten dan bukannya atas dasar sentimen semata-mata.
- Ancelotti anggap Neymar pemain penting yang mampu menentukan perlawanan walaupun tidak terjamin tempat dalam kesebelasan utama.
- Pemanggilan menamatkan ketiadaan sejak 2023 akibat kecederaan serius, selepas beliau dipantau rapat barisan kejurulatihan.
- Penampilan keempat di Piala Dunia dianggap peluang terbaik melengkapkan legasi, selepas 13 penampilan Piala Dunia serta 79 gol antarabangsa.
Bercakap dalam sidang media di sini semalam, Ancelotti melabelkan bintang berusia 34 tahun itu sebagai watak penting yang mampu menjadi penentu perlawanan, meskipun tidak lagi dijamin tempat dalam kesebelasan utama.
Menurut pengendali dari Itali itu, barisan kejurulatihan telah memantau rapat perkembangan penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Brazil itu sebelum membuat keputusan memanggilnya semula ke Piala Dunia.
“Kami telah menilai prestasi Neymar sepanjang tahun ini dan melihat beliau beraksi secara konsisten serta menunjukkan peningkatan fizikal yang ketara pada fasa terakhir liga. Kami percaya beliau adalah pemain yang sangat penting dan bakal menjadi ‘pemain kunci’ buat kami dalam Piala Dunia ini,” kata Ancelotti.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Neymar dipanggil buat kali pertama oleh Ancelotti sejak beliau mengambil alih kerusi kejurulatihan Selecao tahun lalu, sekali gus menamatkan tempoh sepi pemain itu daripada menyarung jersi kebangsaan sejak tahun 2023 akibat siri kecederaan serius.
Meskipun statusnya kali ini beralih daripada tonggak utama kepada pemain impak yang mampu mencorakkan semula keputusan perlawanan, kehadiran penyerang Al Hilal dan Santos itu amat ditagih dalam misi Brazil memburu rekod gelaran juara dunia kali keenam.
Kempen bulan depan juga bakal menyaksikan penampilan keempat Neymar di pentas Piala Dunia selepas tiga edisi terdahulu sering diselubungi kekecewaan.
Pada edisi 2014 di tanah air sendiri, kecederaan tulang belakang yang serius menyekat kemaraannya di suku akhir, sebelum Brazil dimalukan Jerman 7-1 di separuh akhir.
Seterusnya pada edisi 2018 di Rusia, langkah Brazil terhenti di peringkat suku akhir di tangan Belgium, selain beliau berdepan kritikan ekoran reaksi keterlaluan ketika dikasari lawan.
Manakala pada edisi 2022 di Qatar, meskipun berjaya bangkit daripada kecederaan buku lali untuk meledak gol pada masa tambahan menentang Croatia di suku akhir, impiannya berkecai selepas Brazil tewas menerusi penentuan sepakan penalti.
Secara keseluruhan, Neymar telah mengumpul 13 penampilan di Piala Dunia dengan sumbangan lapan gol dan empat umpanan gol.
Dengan rekod keseluruhan 79 gol antarabangsa, kejohanan kali ini dianggap sebagai peluang terbaik untuk Neymar melengkapkan legasinya bersama skuad Brazil. – REUTERS