
NEW YORK, 18 Julai – Penjaga gol utama Argentina, Emiliano Martinez, mengakui beliau lebih menikmati kempen Piala dunia kali ini berbanding edisi di Qatar.
- Penyelamatan ikonik Martinez pada masa tambahan menyelamatkan Argentina selepas kebangkitan Perancis hampir menewaskan mereka.
- Dia menegaskan rakan sepasukan mesti kekal fokus tinggi untuk mengelak mengulangi kesilapan perlawanan akhir lalu.
- Beliau memasuki kejohanan dengan patah jari namun kini cemerlang dalam hantaran dan pembuatan keputusan.
- Kemenangan ke atas Sepanyol bakal menjadikan Argentina negara pertama pertahankan Piala Dunia sejak Brazil 1962; pasukan diingati sebagai pejuang tidak mengaku kalah.
Martinez, yang diingati menerusi aksi penyelamatan ikonik pada saat-saat akhir masa tambahan bagi menyekat Perancis dua tahun lalu, menyifatkan peluang beraksi dalam final keduanya bersama skuad kebangsaan sebagai satu penghormatan besar buat dirinya.
Menjelang pertembungan di Stadium MetLife itu, penjaga gol Aston Villa tersebut mahu rakan sepasukan mengekalkan fokus tinggi bagi mengelak kesilapan lalu berulang, selepas mereka hampir berputih mata ekoran kebangkitan Perancis pada minit-minit terakhir perlawanan di Doha.
“Dalam perlawanan akhir yang lalu, kami jauh lebih unggul berbanding Perancis selama 80 minit sehinggalah mereka mendapat penalti.
“Namun pada akhirnya kami melepaskan tiga gol, dan biasanya apabila anda bolos tiga gol dalam perlawanan akhir, anda lebih cenderung untuk kalah.
“Saya hanya perlu melakukan aksi menyelamat itu pada saat-saat akhir. Kadang-kadang bola terkena anda dan masuk, seperti menentang Jordan (dalam aksi peringkat kumpulan tahun ini).
“Tetapi syukurlah dalam final (2022) itu, ia tidak berlaku,” katanya menjelang perhitungan menentang Sepanyol pada perlawanan akhir Isnin ini.
Pemain berusia 33 tahun itu mengakui emosinya adakalanya tersentuh apabila mengenang kembali rentetan kejayaan luar biasa skuad kebangsaannya, yang sebelum ini turut menjuarai Copa America pada 2021, 2024 serta Finalissima pada 2022.
Beliau yang menyertai kejohanan kali ini dengan kecederaan patah jari yang dialami ketika beraksi dalam perlawanan akhir Liga Europa bersama Aston Villa pada Mei lepas, menegaskan prestasinya kini berada pada tahap terbaik terutamanya dalam aspek hantaran dan pembuatan keputusan.
Sekiranya berjaya menewaskan Sepanyol, skuad Albiceleste bakal melakar sejarah sebagai negara pertama yang berjaya mempertahankan trofi Piala Dunia selepas kali terakhir dilakukan oleh Brazil pada tahun 1962.
Mengulas mengenai legasi yang bakal ditinggalkan pasukan, Martinez berkata rakyat Argentina akan sentiasa mengingati barisan pemain kali ini sebagai pejuang yang tidak pernah mengaku kalah walaupun berdepan situasi sukar. – AFP