Sepanyol ada strategi rantai Messi

Pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente / AFP

NEW YORK, 18 Julai – Pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente, mengesahkan skuad kendaliannya merancang untuk memberikan “perhatian khusus” kepada Lionel Messi dalam aksi akhir Piala Dunia pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • De la Fuente menegaskan Sepanyol tidak akan menggunakan kawalan individu terhadap Messi, berdasarkan pengalaman pahit ketika mengendalikan skuad remaja Sevilla.
  • Beliau menepis dakwaan Argentina akan menggunakan taktik kotor atau provokasi dan memuji pencapaian serta kepimpinan Lionel Scaloni.
  • De la Fuente berkata pemain sedia hadapi rehat separuh masa hampir 30 minit untuk persembahan hiburan, dianggap norma baharu.

Fuente bagaimapun menafikan akan menggunakan taktik kawalan secara individu (man-to-man marking) terhadap krtua pasukan Argentina itu.

De la Fuente berkata, beliau enggan mengulangi kesilapan lalu berdasarkan pengalamannya sendiri ketika mengendalikan skuad remaja Sevilla, yang membuktikan bahawa usaha mengekang pemenang lapan kali anugerah Ballon d’Or itu menggunakan strategi sedemikian adalah sesuatu yang mustahil.

Menjelang pertembungan sengit di Stadium MetLife itu, beliau menyifatkan bintang veteran berusia 39 tahun berkenaan sebagai pemain luar biasa yang perlu diawasi, memandangkan aksi berkenaan akan menjadi penampilan terakhir Messi di pentas Piala Dunia.

“Ketika saya mengendalikan pasukan remaja Sevilla, kami ke Barcelona dan saya mendengar tentang kehebatan seorang budak bernama Messi. Jadi kami meletakkan seorang pemain untuk mengawalnya secara man-to-man.

“Sehingga minit ke-70, keputusan terikat 0-0 dan saya terpaksa menukarkan pemain berkenaan kerana dia sudah mendapat kad kuning.

“Dalam tempoh 15 minit selepas itu, Messi meledak empat gol terhadap kami. Jadi, kami tidak akan menggunakan kawalan individu kali ini.

“Kami hanya perlu kekal peka dan memberi perhatian yang sangat khusus,” katanya dalam sidang media di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, De la Fuente turut menepis dakwaan pihak tertentu kononnya skuad Albiceleste akan menggunakan taktik kotor atau provokasi bagi mengganggu rentak permainan Sepanyol.

Sebaliknya, beliau melahirkan kekaguman terhadap pencapaian Argentina yang dipimpin oleh rakan karibnya, Lionel Scaloni, yang pernah menjadi pelajarnya ketika mengambil lesen kejurulatihan profesional pada 2017.

“Saya mempunyai rasa hormat yang amat tinggi terhadap pasukan kebangsaan ini. Mereka telah memenangi Piala Dunia, dua kejuaraan Copa America, dan Finalissima. Saya percaya kedua-dua pasukan mempunyai pelan permainan yang meletakkan bakat serta keindahan bola sepak mengatasi segala-galanya,” jelas beliau.

Menyentuh mengenai pelanjutan tempoh rehat separuh masa yang dijangka mencecah hampir 30 minit bagi memberi laluan kepada persembahan hiburan artis terkenal, De la Fuente menegaskan anak buahnya sudah bersedia untuk menyesuaikan diri dengan situasi berkenaan yang disifatkannya bakal menjadi norma baharu dalam sukan bola sepak pada masa hadapan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.