
KUALA LUMPUR, 31 Januari – PDRM FC terpaksa berpuas hati berkongsi mata selepas terikat 1-1 menentang KL City FC dalam perlawanan Liga Super berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.
- PDRM terikat 1-1 dengan KL City dalam perlawanan Liga Super di Selayang.
- Kashim Oluwasegun buka jaringan awal pada minit ke-12 hasil hantaran Park Tae Su.
- Declan Lambert selamatkan satu mata KL City dengan rembatan kencang pada minit ke-63.
Babak pertama menyaksikan KL City bimbingan Risto Vidakovic lebih menguasai permainan namun tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Kashim Oluwasegun yang menyudahkan hantaran Park Tae Su pada minit ke-12.
Muhammad Safawi Rasid hampir menyamakan kedudukan apabila rembatannya menerjah gawang tuan rumah namun jaringan dinafikan kerana berada pada kedudukan ofsaid.
The City Boys terus mengasak ke kubu tuan rumah pada babak kedua hingga akhirnya berjaya menghasilkan gol menerusi rembatan kencang Declan Lambert pada minit ke-63.
Keputusan perlawanan malam ini menyaksikan KL City kekal di tangga ketiga liga dengan 30 mata manakala PDRM tercorot dengan tujuh mata.- BERNAMA