
KUALA LUMPUR, 4 April – Saingan Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia Musim ke-17 membuka tirai dengan penuh gemilang pada Jumaat, menyaksikan kebangkitan pasukan gergasi dalam memburu mahkota kejuaraan musim ini.
- Selangor Red Giants pamer permainan berdisiplin menewaskan Team Vamos 2-0.
- Ketua jurulatih Arcadia percayakan Unii sebagai jungler; Unii tunjuk prestasi cemerlang.
- RRQ Tora tunjuk dominasi dan keserasian tinggi, menewaskan Team Rey 2-0.
- Team Rey agresif awal permainan namun gagal menghalang kemaraan RRQ Tora.
Dua perlawanan tumpuan menjadi sorotan peminat e-sukan tanah air melibatkan juara bertahan, Selangor Red Giants (SRG), serta entiti baru yang amat dinantikan, RRQ Tora.
Dalam aksi pembukaan, Selangor Red Giants (SRG) memperagakan mutu permainan yang cukup berdisiplin dan kemas ketika menundukkan Team Vamos (VMS).
Ketangkasan strategi yang direncanakan oleh ketua jurulatih SRG, Michael Angelo Bocado atau lebih dikenali sebagai Arcadia, ternyata membuahkan hasil yang positif.Arcadia memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Muhammad Danish Fitri Razman (Unii) untuk menggalas tanggungjawab di posisi jungler.
Kepercayaan tersebut dibalas dengan prestasi cemerlang Unii yang berjaya mengemudi fasa serangan pasukan dengan efektif.
Rentetan itu, SRG berjaya melakar kemenangan bersih 2-0, sekali gus memberikan amaran awal kepada pencabar lain bahawa misi mempertahankan kejuaraan tetap menjadi agenda utama mereka bagi musim ini.
Kecemerlangan tersebut turut diikuti oleh pasukan RRQ Tora yang berdepan tentangan Team Rey dalam perlawanan kedua.
Walaupun Team Rey cuba memberikan saingan sengit menerusi corak permainan agresif pada fasa awal perlawanan, mereka gagal mengekang kemaraan RRQ Tora.
Pasukan yang dibarisi oleh gabungan pemain berbakat dari Malaysia, Filipina, dan Indonesia itu mempamerkan keserasian luar biasa untuk menoktahkan kemenangan 2-0.##