Misi buru kemenangan JST di Larkin

Aksi perlawanan peringkat akhir antara Johor Southern Tigers dan Penang Sunrise Youngsters pada Liga Bola Keranjang Utama musim lalu./foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 13 April – Kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri bakal menjadi senjata utama Johor Southern Tigers (JST) dalam misi memburu kemenangan sulung pada Kejohanan Liga Juara-Juara Bola Keranjang Asia (BCLA) Timur yang akan membuka tirainya di Stadium Tertutup Arena Larkin, Rabu ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penasihat Lee Ting Han berkata sokongan tempatan memberi suntikan moral luar biasa yang mampu melonjakkan prestasi pemain.
  • Ketua Jurulatih Yong Kian Ann mahu pasukan tampil profesional, lebih tajam dan pantas; pemain import memahami tanggungjawab besar.
  • JST akan menentang Dewa United Banten dan Hi-Tech Basketball; George Scott Lewis Jr dijangka memacu serangan dengan lebih agresif.

Penasihat Persatuan Bola Keranjang Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, beraksi di laman sendiri bukan sekadar soal lokasi, malah ia merupakan suntikan moral luar biasa yang mampu melonjakkan prestasi setiap pemain.

Beliau optimis bahawa ‘aura’ gelanggang keramat di Johor Bahru itu akan memberi tekanan kepada pasukan pelawat sekali gus mencerahkan peluang wakil negara melangkah ke peringkat seterusnya.

“Apabila kita bermain di tanah air, khususnya di Johor, semangat juang pasukan pastinya berbeza. Sokongan padu daripada peminat tempatan adalah faktor penentu yang akan mengerah setiap pemain untuk bertungkus-lumus demi lencana di dada,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih JST, Yong Kian Ann berharap agar anak buahnya menterjemahkan kelebihan sokongan di laman sendiri dengan aksi profesional yang lebih tajam dan pantas.

“Saya memiliki kepercayaan penuh terhadap kemampuan skuad ini. Kita sudah bersedia sepenuhnya, malah barisan pemain import juga sudah memahami tanggungjawab besar yang perlu digalas untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kita di sini,” jelas Kian Ann.

Berdasarkan jadual, skuad Harimau Selatan itu dijadualkan bertemu wakil Indonesia, Dewa United Banten pada Khamis, sebelum menguji kekuatan menentang kelab Thailand, Hi-Tech Basketball, keesokan harinya.

Tumpuan utama peminat pastinya terarah kepada bintang import, George Scott Lewis Jr. Bekas pemain NBA yang pernah menyarung jersi Charlotte Hornets itu dijangka memanfaatkan kelebihan suasana di Arena Larkin untuk mengemudi jentera serangan pasukan dengan lebih agresif.