
MELAKA TENGAH, 31 Julai – Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan RM300,000 bagi memperkukuh pembangunan atlet para negeri itu menerusi latihan, pembangunan bakat dan penyertaan dalam pertandingan secara lebih sistematik serta berterusan.
- Kerajaan negeri komited memperkasa pembangunan sukan para dan melahirkan atlet berprestasi tinggi.
- Seramai 61 atlet para Melaka berjaya mengharumkan nama negeri ke peringkat antarabangsa.
- Atlet membawa pulang 27 pingat melalui kejohanan sukan berprestij sepanjang tiga tahun.
- Karnival Sukan dan Bakat OKU menghimpunkan kira-kira 800 peserta dengan tujuh acara termasuk olahraga, futsal, nyanyian dan tarian.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan sukan para serta melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi.
Beliau berkata, usaha berterusan itu membuahkan hasil apabila seramai 61 atlet para Melaka berjaya mengharumkan nama negeri sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Alhamdulillah, hasilnya seramai 61 atlet para telah mengukir kejayaan hingga ke pentas antarabangsa. Lebih membanggakan, mereka berjaya membawa pulang 27 pingat menerusi kejohanan sukan berprestij sepanjang tiga tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan dan Bakat Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Negeri Melaka di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit, di sini, hari ini.
Karnival itu menghimpunkan kira-kira 800 peserta terdiri daripada murid pendidikan khas, pelatih Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) serta komuniti OKU dari seluruh Melaka.
Sebanyak tujuh acara dipertandingkan, antaranya sukaneka, olahraga balapan, futsal, nyanyian dan tarian.