
KOTA BHARU, 13 Julai – Ketua jurulatih Kelantan Red Warriors (KRW) FC Irfan Bakti Abu Salim mengakui berasa bangga dengan kejayaan pasukan itu layak beraksi dalam Liga Super musim depan berdasarkan merit.
- Pendaftaran pemain baharu ditangguhkan sementara kerana beberapa isu teknikal perlu diselesaikan.
- Pengurusan sedang berusaha menyelesaikan isu itu supaya pasukan dapat melengkapkan skuad untuk Liga Super.
- Latihan diteruskan dengan 18 hingga 20 pemain sedia ada menunggu pembukaan semula pendaftaran.
Beliau bagaimanapun berkata beberapa perkara teknikal membabitkan pengurusan pasukan itu perlu diselesaikan secepat mungkin bagi memastikan persiapan pasukan tidak terjejas.
“Persiapan pasukan ketika ini berjalan lancar, namun proses mendapatkan pemain baharu, sama ada tempatan mahupun import terpaksa ditangguhkan sementara kerana kami perlu menyelesaikan beberapa isu teknikal.
“Kami bersedia beraksi dalam saingan Liga Super dan berbangga kerana layak secara merit. Bagaimanapun, pihak pengurusan sedang berusaha menangani perkara yang berbangkit,” katanya kepada Bernama hari ini.
Irfan Bakti berkata selagi perkara itu tidak diselesaikan, pasukan tidak boleh mendapatkan pemain baharu, sama ada tempatan mahupun import.
“Pihak pengurusan sedang berusaha sedaya upaya menyelesaikan perkara itu kerana pasukan memerlukan skuad yang lengkap untuk menghadapi cabaran Liga Super yang lebih kompetitif berbanding Liga A1 Semi-Pro musim lepas,” katanya.
Beliau berkata pasukan perlu memenuhi semua syarat yang ditetapkan untuk beraksi pada saingan Liga Super dan berharap isu berkenaan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
“Ketika ini latihan dijalankan dengan 18 hingga 20 pemain sedia ada sementara menunggu peluang menambah kekuatan pasukan sebaik sahaja sekatan terhadap pendaftaran pemain ditarik balik,” katanya. -BERNAMA