Krisis Asia Barat: FIA titik berat keselamatan F1

Foto AFP

MELBOURNE, 3 Mac – Aspek keselamatan dan kesejahteraan kekal menjadi keutamaan, di tengah-tengah ketidaktentuan kalendar Formula One (F1) akibat konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • FIA utamakan keselamatan dan kesejahteraan berikutan ketidaktentuan di Asia Barat.
  • Keputusan mengenai perlumbaan Bahrain dan Arab Saudi dipantau rapat bersama penganjur dan pasukan.
  • Perjalanan krew terganggu; sekitar 1,000 kakitangan terpaksa ubah jadual penerbangan.
  • Perlumbaan pembukaan di Melbourne tetap dijangka berjalan lancar dengan kepastian ketibaan kargo dan pasukan.

Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Mohammed Ben Sulayem menegaskan badan induk itu sedang memantau rapat situasi semasa yang boleh menjejaskan beberapa perlumbaan akan datang, termasuk Grand Prix Bahrain dan Arab Saudi bulan depan.

“Dalam keadaan tidak menentu ini, kami berharap keadaan kembali tenang. Dialog dan perlindungan orang awam mesti menjadi keutamaan,” katanya menerusi kenyataan rasmi.

Setakat ini, perlumbaan pembuka tirai musim di Melbourne hujung minggu ini tidak terancam meskipun berdepan gangguan perjalanan susulan penutupan ruang udara di beberapa negara Asia Barat.

Selepas Australia, F1 dijadualkan ke China dan Jepun yang dijangka tidak terjejas, namun kebimbangan memuncak terhadap aksi di Bahrain (10-12 April) dan Arab Saudi seminggu kemudian susulan ketegangan melibatkan Iran serta sekutunya.

FIA memaklumkan pihaknya berhubung rapat dengan penganjur, pasukan dan pihak berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan mengenai Kejuaraan Dunia F1 dan Kejuaraan Endurance Dunia.

Meskipun semua kargo termasuk jentera sudah selamat tiba di Melbourne, kira-kira 1,000 kakitangan perlumbaan terpaksa menukar jadual penerbangan kerana Dubai dan Doha merupakan hab utama ke Australia.

Ketua F1 Australia, Travis Auld optimis perlumbaan akan berjalan lancar.

“Kami yakin semua pihak akan tiba tepat pada masanya dan tiada impak terhadap perlumbaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, juara dunia Lando Norris dari pasukan McLaren F1 Team bakal memulakan misi mempertahankan kejuaraan di Melbourne.

Musim baharu turut menyaksikan penyertaan pasukan baharu, Cadillac F1 Team, yang mempertaruhkan gandingan berpengalaman Valtteri Bottas dan Sergio Perez. – AFP