Ketua Jurulatih AC Milan sertai barisan pembawa obor Olimpik

Massimiliano Allegri menyertai barisan pembawa obor Sukan Olimpik Musim Sejuk di bandar Borgomanero/ REUTERS

BORGOMANERO, 15 Januari – Ketua Jurulatih AC Milan, Massimiliano Allegri, menyertai barisan pembawa obor Sukan Olimpik Musim Sejuk pada Rabu (14 Januari) ketika tercetus kontroversi susulan pengecualian bekas atlet menyertainya kerana terlibat dengan politik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Massimiliano Allegri menyertai barisan pembawa obor Sukan Olimpik Musim Sejuk di Borgomanero.
  • Silvio Fauner dan beberapa bekas atlet dikecualikan kerana memegang jawatan politik, mencetuskan kontroversi.
  • Menteri Itali mengadakan mesyuarat segera untuk mendapatkan penjelasan mengenai keputusan yang mengelirukan itu.

Obor Olimpik kini menjelajah 110 wilayah di seluruh Itali menjelang temasya Milano-Cortina yang dijadual berlangsung dari 6 hingga 22 Februari depan. Allegri berjalan bersama sukarelawan lain di bandar Borgomanero, kira-kira 70 kilometer di barat laut Milan.

Seramai 10,001 pembawa obor digerakkan dengan mengenakan pakaian seragam berwarna putih seta corak merah dan kuning yang melambangkan api Olimpik.

Namun, bekas juara ski merentas desa Olimpik, Silvio Fauner, melahirkan rasa tidak puas hati apabila beliau dan beberapa pemenang pingat Olimpik lain diketepikan daripada peranan tersebut.

Penganjur Olimpik dalam satu kenyataan memaklumkan Fauner dikecualikan daripada tugasan membawa obor kerana pemegang jawatan politik tidak layak menyertai acara itu.

Fauner kini merupakan Timbalan Datuk Bandar Sappada. Bagaimanapun, menerusi satu hantaran di Facebook, atlet bersara itu mendakwa wujud layanan tidak adil.

Menteri Infrastruktur Itali, Matteo Salvini, yang terlibat secara langsung dalam persiapan temasya Olimpik, bersama Menteri Sukan, Andrea Abodi, pada Rabu mengumumkan satu “mesyuarat segera” dengan penganjur temasya bagi menangani kontroversi tersebut.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua menteri itu menyatakan hasrat untuk mendapatkan penjelasan berhubung “keputusan yang mengelirukan” itu.- REUTERS