Keputusan tiada perkampungan sukan beri kelebihan kepada kontinjen negeri

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu Hishamuddin Abdul Karim (tengah) bergambar bersama atlet Sukan Malaysia (SUKMA) pada Program Penghargaan Kecemerlangan Akademik (Sijil Pelajaran Malaysia 2025) Atlet Terengganu di Kuala Nerus /BERNAMA

KUALA NERUS, 15 April– Keputusan penganjur untuk tidak menyediakan perkampungan sukan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dilihat sebagai langkah positif oleh kontinjen Terengganu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan tanpa perkampungan membolehkan negeri pilih penginapan lebih selesa dan dekat lokasi, mengurangkan risiko bilik tidak sesuai dan isu makanan.
  • Namun memberi cabaran pengurusan dengan ramai atlet kerana perlu atur penginapan, pengangkutan dan logistik tanpa bantuan perkampungan bersentralisasi.
  • Kontinjen minta penganjur kaji semula kadar subsidi RM100 sehari supaya mampu sediakan pengangkutan dan penginapan lebih selesa mengikut kos semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Hishamuddin Abdul Karim berkata penetapan itu memberikan ruang untuk setiap negeri memilih sendiri tempat penginapan yang lebih selesa dan sesuai dengan keperluan atlet.

“Untuk kontinjen Terengganu kita telah mengarahkan persatuan-persatuan agar mencari penginapan yang paling dekat dengan lokasi kejohanan dan selesa. Buat masa sekarang semua berjalan lancar.

“Dari sudut positif kami boleh pilih sendiri mana nak duduk. Kalau perkampungan sukan, atlet terpaksa terima bilik yang diberikan, sama ada selesa atau tidak. Satu lagi makan minum pun kita terpaksa pergi ambil.

“Kalau kata kita bermain di Kajang dan menginap di Shah Alam, terpaksa ambil balik di Shah Alam. Kadang-kadang makanan disediakan terlalu awal itu yang menjadi punca kes keracunan makanan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Penghargaan Kecemerlangan Akademik (Sijil Pelajaran Malaysia 2025) Atlet Terengganu, di sini malam tadi.Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu Mohd Shahrizal Yahaya.

Sebanyak 40 atlet yang memperoleh keputusan 4A hingga 12A dalam SPM 2025 baru-baru ini menerima insentif antara RM300 hingga RM500 seorang.

Bagaimanapun, Hishamuddin berkata keputusan untuk tidak mengadakan perkampungan sukan pada temasya dwitahunan itu turut memberikan lebih cabaran kepada kontinjen negeri untuk menguruskan pelbagai aspek dengan jumlah atlet yang ramai.

Sehubungan dengan itu, pihaknya memohon penganjur SUKMA Selangor 2026 mengkaji semula kadar subsidi sebanyak RM100 sehari yang diberikan kepada atlet berikutan peningkatan kos semasa.

“Kita berharap keputusan ini dapat dinilai semula. Langkah menaikkan subsidi dapat memberikan kemudahan pengangkutan dan penginapan yang lebih selesa kepada atlet,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata penganjuran SUKMA 2026 di Selangor pada Ogos nanti menyaksikan tiada perkampungan sukan disediakan untuk kontinjen bertanding, sebaliknya setiap atlet akan diberikan subsidi sebanyak RM100 sehari bagi membantu kos penempatan dan perbelanjaan berkaitan, sepanjang temasya berlangsung-BERNAMA