
KELANA JAYA, 22 Januari– Perdana BTR FC mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir Kejohanan Futsal Wanita Kebangsaan 2026 selepas menewaskan UiTM Lioness FC 2-1 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Arena Futsal FAM, Kelana Jaya.
- Perdana BTR FC mara ke final selepas bangkit menang 2-1, tunjukkan semangat juang dan disiplin pasukan.
- MBSJ FC layak ke final dengan kemenangan 4-1, dua gol awal ubah rentak permainan jadi kelebihan.
- Kedua-dua pasukan fokus pada persiapan akhir dan bertekad menjuarai kejuaraan selepas usaha gigih.
Walaupun ketinggalan pada separuh masa pertama, pasukan kendalian Mohd Ruzaley Abd Aziz bangkit mempamerkan semangat juang tinggi untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.
Menurut Mohd Ruzaley, kejayaan tersebut adalah hasil disiplin dan kepercayaan pemain terhadap perancangan pasukan.
“Syukur Alhamdulillah. Untuk perlawanan separuh akhir ini, kita berjaya menewaskan UiTM. Saya ingin memuji semangat pemain saya, walaupun ketinggalan pada separuh masa pertama, mereka tidak pernah luntur, sebaliknya terus berjuang sehingga minit terakhir. Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada kami untuk mara ke pentas akhir kali ini,” kata Mohd Ruzaley.
Beliau turut menjelaskan prestasi pemain menjadi cabaran utama dalam format karnival yang memerlukan perlawanan setiap hari.
Bagaimanapun, Mohd Ruzaley menegaskan fokus utama pasukan ketika ini adalah memberi rehat kepada pemain sebelum merangka strategi menjelang aksi akhir.
“Saya fokus kepada memastikan mereka berehat dahulu. Selepas itu, kita akan kembali dan berbincang tentang langkah seterusnya yang perlu diambil,” katanya.
Sementara itu, pemain Perdana BTR FC, Nur Imanina Aqilah Abdul Apit menyifatkan perlawanan separuh akhir tersebut sebagai sangat sengit dan fokus dengan misi pasukan iaitu merebut gelaran juara.
“Perlawanan tadi memang sangat sengit. Ketika mereka melaksanakan kuasa serangan pada penghujung perlawanan, kami bertahan sebaik mungkin bagi memastikan gol itu kekal,”
“Kita memang sasarkan juara. Memang kami nak menang. Kami akan bagi yang terbaik dan berjuang sehabis mungkin,” katanya.
Perdana BTR FC dijadual berdepan MBSJ FC pada pentas akhir Kejohanan Futsal Wanita Kebangsaan 2026.
Sementara itu, MBSJ FC mengesahkan tiket ke slot akhir Kejohanan Futsal Wanita Kebangsaan 2026 selepas mencatat kemenangan 4-1 ke atas MBPJ FC dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Arena Futsal FAM, di sini.
Ketua Jurulatih MBSJ FC, Mohd Fairuz Mohd Noor berkata jaringan awal pasukan menjadi faktor utama kemenangan berkenaan.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Kemenangan 4-1 pada separuh akhir bukanlah mudah, namun anak buah saya telah menunaikan tugas dengan baik sejak minit pertama hingga minit ke-10 separuh masa pertama. Dua gol awal yang dijaringkan berjaya menukar rentak permainan dan memberi kelebihan kepada pasukan MBPJ,” kata Mohd Fairuz.
Sementara itu, pemain MBSJ FC, Fatin Shahida Azmi yang menyumbang dua gol dalam perlawanan tersebut, mengakui perasaan gementar mempengaruhi permainan pasukan pada awal perlawanan.
“Pada separuh akhir ini, memang ada sedikit perasaan gementar dalam lima hingga sepuluh minit pertama separuh masa pertama. Namun, selepas menjaringkan gol, pasukan kami semakin fokus dan mampu bermain dengan lebih baik, kerana pada awal permainan perasaan gugup sedikit menguasai kami.”
“Harapan utama pastinya kemenangan. Saya mahu MBSJ menjuarai kejuaraan. Setelah beberapa musim MBSJ gagal menjuarai, sejak 2018 hingga kini masih berpeluang ke final, kali ini, Insya-Allah, sasaran kami adalah untuk menjuarai kejuaraan,” katanya.
Fatin menyatakan gelaran juara menjadi matlamat utama MBSJ FC, selepas beberapa musim terlepas gelaran.