Jordi Cruyff dilantik pengarah teknikal Ajax

Jordi Cruyff/ Foto laman rasmi kelab Ajax

AMSTERDAM, 18 Januari – Kelab gergasi Belanda, Ajax, mengumumkan pelantikan Jordi Cruyff, anak legenda kelab Johan Cruyff, sebagai pengarah teknikal pasukan bermula 1 Februari dengan kontrak sehingga Jun 2028.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelantikan Jordi Cruyff sebagai pengarah teknikal bermula 1 Februari hingga Jun 2028 membawa makna peribadi dan keluarga.
  • Tugas utama beliau adalah mencari pengurus baharu selepas pemecatan John Heitinga pada November lalu.
  • Ajax menghadapi prestasi lemah musim ini, ketinggalan 18 mata dalam liga dan catatan kalah teruk dalam pertandingan domestik.

Dalam kenyataan di laman web rasmi kelab, Cruyff, 51, berkata pelantikan itu amat bermakna buat beliau dan keluarganya.

“Sudah tentu, ini membawa makna besar untuk keluarga dan saya. Di stadium yang dinamakan sempena ayah saya dan di kelab yang penting sejak saya kecil. Ajax adalah kelab unik dengan sejarah kaya, dan saya akan lakukan segala yang termampu untuk menulis bab baru yang berjaya bersama,” katanya.

Sebagai pengarah teknikal, salah satu tugas utama Cruyff ialah mencari pengurus baharu bagi pasukan Amsterdam selepas John Heitinga dipecat pada November lalu.

Ajax kini ketinggalan 18 mata di belakang pendahulu liga, PSV Eindhoven, dalam liga Belanda yang terakhir dimenangi mereka pada 2022. Dalam Liga Juara-Juara, pasukan itu berada di tangga ke-34 daripada 36 dan tewas 6-0 kepada AZ Alkmaar dalam Piala Belanda pada Rabu lalu, satu rekod kekalahan terburuk kelab.

Johan Cruyff pernah memimpin Ajax memenangi tiga gelaran Piala Eropah berturut-turut pada awal 1970-an.

Jordi Cruyff, pemain tengah menyerang yang lahir di Amsterdam, pernah beraksi dalam skuad remaja Ajax tetapi tidak pernah bermain secara profesional untuk kelab itu.

Beliau pernah mewakili pasukan seperti Barcelona dan Manchester United, serta meraih sembilan caps untuk Belanda.

Selepas bersara sebagai pemain, Cruyff mengurus pasukan termasuk Maccabi Tel Aviv, Ecuador, dan beberapa kelab di China.-AFP