Impian musnah, Neymar akhiri segalanya bersama Brazil

Neymar kecewa selepas Brazil tewas kepada Norway dalam pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026/Foto AFP

EAST RUTHERFORD, 6 Julai – Bintang bola sepak Brazil, Neymar memberi bayangan mengakhiri karier antarabangsa selepas pasukannya tersingkir pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Haaland menjaringkan dua gol untuk meletakkan Norway di hadapan, menentukan rentak perlawanan.
  • Neymar menjaringkan penalti masa kecederaan, namun hanya berfungsi sebagai gol sagu hati.
  • Neymar kelihatan sebak selepas perlawanan dan pernah bergelut dengan kecederaan, menyebabkan dia terlepas dua perlawanan peringkat kumpulan.

Brazil tewas 1-2 kepada Norway dalam aksi yang berlangsung di Stadium MetLife, sekali gus menamatkan cabaran juara dunia lima kali itu dalam kejohanan berprestij berkenaan.

Neymar yang masuk sebagai pemain gantian lewat permainan sempat menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan, namun jaringan tersebut sekadar gol sagu hati selepas Norway terlebih dahulu mendahului hasil dua gol penyerang sensasi, Erling Haaland.

Sejurus tamat perlawanan, pemain berusia 34 tahun itu tidak dapat menahan sebak sebelum ditenangkan rakan sepasukan.

Dalam reaksi ringkas kepada media Brazil, Neymar berkata beliau telah melakukan yang terbaik sepanjang kariernya bersama skuad kebangsaan.

“Saya sudah cuba segalanya. Kini ia sudah berakhir. Ia bermula di sini dan berakhir di sini,” katanya.

Ironinya, stadium sama turut menyaksikan gol antarabangsa pertama Neymar bersama Brazil pada 2010 ketika menewaskan Amerika Syarikat 2-0.

Penyerang itu yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil sebelum ini berdepan masalah kecederaan berpanjangan, namun tetap dipanggil menyertai skuad kendalian Carlo Ancelotti untuk Piala Dunia kali ini.

Neymar tidak beraksi dalam dua perlawanan awal peringkat kumpulan akibat kecederaan, sebelum membuat kemunculan semula ketika Brazil menewaskan Scotland 3-0.

Perlawanan menentang Norway menjadi penampilan terakhirnya dalam kejohanan tersebut, yang kini dilihat sebagai tirai penutup buat karier gemilangnya di pentas antarabangsa.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.