Hakim Danish cipta rekod terpantas sepanjang zaman

Foto FB Hakim Danish

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli mencipta sejarah tersendiri apabila memecahkan rekod sepanjang zaman kategori Moto3 di Litar Brno, Czechia pada sesi Latihan Bebas 1 (FP1) Grand Prix Czech, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mencatat masa 2:04.938, menewaskan David Almansa yang mencatat 2:05.246.
  • Memadam rekod lama 2:05.019 yang dipegang Guido Pini sejak 2025.
  • Mencatat masa bawah 2:05 sebagai pelumba Moto3 pertama; prestasi beri petanda positif, kini dalam kelompok 10 terbaik selepas lapan pusingan.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mencatat masa 2 minit 04.938 saat untuk muncul sebagai pelumba terpantas sesi berkenaan, sekali gus menewaskan pencabar terdekat, David Almansa yang merekodkan 2 minit 05.246 saat.

Lebih membanggakan, catatan itu turut memadam rekod lama 2 minit 05.019 saat yang sebelum ini dipegang Guido Pini sejak musim 2025.

Kejayaan tersebut menjadikan Hakim pelumba pertama dalam sejarah Moto3 yang berjaya mencatat masa di bawah 2 minit 05 saat di Litar Brno, selain menjadi satu-satunya pelumba yang mencapai penanda aras berkenaan dalam sesi itu.

Catatan masa tersebut juga lebih pantas berbanding rekod perlumbaan terbaik milik Jose Antonio Rueda yang mencatat 2 minit 05.454 saat pada musim 2025.

Prestasi cemerlang itu memberi petanda positif buat pelumba berusia 18 tahun berkenaan dalam usaha memburu keputusan lebih baik pada pusingan Grand Prix Czech hujung minggu ini.

Selepas lapan pusingan musim ini, Hakim kini berada dalam kelompok 10 terbaik kejuaraan dunia Moto3, sekali gus terus membuktikan kemampuannya bersaing di peringkat elit dunia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.