
KUALA LUMPUR, 29 April – Proses pendaftaran penubuhan Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan (FTAA) tidak dapat diteruskan selagi persatuan sedia ada di peringkat Wilayah Persekutuan tidak dibubarkan.
- Akta Pembangunan Sukan hanya membenarkan satu badan induk bagi setiap sukan di peringkat negeri.
- Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya masing-masing mempunyai persatuan olahraga berdaftar dengan PJS.
- PJS tidak akan mendaftarkan persatuan sama pada peringkat yang sama untuk mengelakkan kekeliruan dan kekacauan.
- MA mahu isu status FTAA diselesaikan segera; pembentukan mesti melibatkan wakil sah KL, Labuan dan Putrajaya serta disemak oleh Majlis MA.
Pesuruhjaya Sukan (PJS) Arrifin Mohd Ghani berkata perkara itu selaras dengan Akta Pembangunan Sukan yang hanya membenarkan satu badan induk bagi setiap sukan di peringkat negeri dan peruntukan itu perlu dipatuhi.
Beliau menjelaskan ketika ini Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya masing-masing mempunyai persatuan olahraga yang sah berdaftar dengan PJS, justeru untuk penubuhan satu entiti baharu bawah Wilayah Persekutuan memerlukan ketiga-tiga badan tersebut dibubarkan terlebih dahulu.
“PJS tidak boleh mendaftarkan satu lagi persatuan yang sama di peringkat yang sama. Sebab kita akan menghuru-harakan negeri itu nanti.
“Sebagai contoh kalau saya mendaftarkan FTAA, nanti kelab dari Labuan buat kejohanan dia dapat sanction dari siapa? Adakah mereka akan minta dari persatuan Olahraga Labuan atau FTAA,” katanya.
Semalam, Olahraga Malaysia (MA) berharap isu status gabungan yang dikemukakan Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan (FTAA) dapat diselesaikan secepat mungkin supaya persatuan itu boleh menjadi ahli gabungan badan induk itu.
Setiausaha Agung MA, Nur Haryati Karim berkata pihaknya amat prihatin tentang pembangunan olahraga di Malaysia, khususnya di Wilayah Persekutuan, menjelang persediaan Sukan SEA akan datang.
Berdasarkan Perlembagaan MA, pembentukan FTAA perlu merangkumi perwakilan yang sah dari Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, manakala proses penggabungan harus melalui semakan sewajarnya oleh Majlis MA selaras dengan prosedur tadbir urus persatuan. – BERNAMA