
KUALA LUMPUR, 29 Januari – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah memaklumkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengenai peletakan jawatan kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) badan induk itu, berkuat kuasa semalam.
- FAM memaklumkan FIFA dan AFC mengenai peletakan jawatan semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif.
- Surat pemberitahuan dihantar oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.
- Peletakan jawatan melibatkan barisan Exco penggal 2025-2029 secara kolektif dan sukarela.
- Keputusan dibuat sebulat suara atas dasar tanggungjawab kepada organisasi tanpa kepentingan peribadi.
Perkara berkenaan dimaklumkan FAM menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.
Menurut hantaran tersebut, surat daripada Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman telah dihantar kepada Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom serta Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John bagi memaklumkan mengenai peletakan jawatan berkenaan.
Semalam, keseluruhan barisan Exco FAM bagi penggal 2025 hingga 2029 secara kolektif dan sukarela meletakkan jawatan mereka dengan serta-merta.
Bekas Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata keputusan itu dibuat sebulat suara dengan mengambil kira tanggungjawab terhadap organisasi, tanpa dipengaruhi sebarang kepentingan peribadi atau jawatan.