
KUALA LUMPUR, 17 Januari – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini mengambil alih peranan teknikal dalam pelaksanaan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
- FAM kini memegang peranan teknikal penuh dalam pelaksanaan NFDP termasuk latihan atlet, penyertaan kejohanan dan pengurusan kejurulatihan.
- MSN terus urus aspek pentadbiran, fasiliti, kewangan, kebajikan, pendidikan, perubatan dan sains sukan bagi menyokong NFDP.
- Pembahagian peranan dan tiga jawatankuasa pemantau bertujuan memastikan tadbir urus telus, profesional dan pemainan berkualiti tinggi.
Dalam kenyataan, Majlis Sukan Negara (MSN) memaklumkan, langkah itu bertujuan memperkukuh ekosistem pembangunan bakat bola sepak negara secara lebih tersusun, bersepadu dan berimpak tinggi.
Pengambilalihan berkenaan melibatkan aspek teknikal sepenuhnya, selaras dengan kepakaran serta mandat FAM sebagai badan induk bola sepak negara.
“Antara tanggungjawab utama yang digalas oleh FAM merangkumi latihan atlet, penyertaan kejohanan, serta pengurusan kejurulatihan pada semua peringkat pelaksanaan NFDP.
“Ia selaras dengan cadangan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang membuat penilaian terhadap program pembangunan itu hasil permintaan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” menurut kenyataan MSN.
Dalam masa sama, MSN akan terus memainkan peranan penting dalam menguruskan aspek pengurusan dan sokongan atlet.
“Tanggungjawab itu meliputi pentadbiran, pengurusan fasiliti dan kewangan, pengurusan pertandingan, kebajikan dan pendidikan atlet, pengurusan asrama dan pemakanan, perkhidmatan perubatan serta sains sukan, selain pelaksanaan program pembangunan atlet secara menyeluruh,” katanya.
Menurut MSN, pembahagian peranan yang jelas antara FAM dan MSN itu bertujuan memastikan NFDP dilaksanakan dengan lebih efektif dan profesional.
“Ini sejajar dengan standard pembangunan bola sepak antarabangsa, di samping menjamin kebajikan serta perkembangan menyeluruh atlet muda negara,” katanya.
Bagi memastikan tadbir urus NFDP terus telus dan berkesan, program itu dipantau melalui tiga jawatankuasa utama, iaitu Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Mohamed Taufiq Johari bertindak sebagai badan tertinggi dalam menetapkan hala tuju strategik NFDP.
“Jawatankuasa kerja pula dipengerusikan Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan dasar serta operasi program,” jelas MSN.
MSN memaklumkan struktur pengurusan yang lebih mantap dan tersusun itu diyakini mampu melahirkan lebih ramai pemain berkualiti tinggi, yang bukan sahaja cemerlang pada peringkat kebangsaan, malah berdaya saing di pentas antarabangsa, sekali gus memperkukuh masa depan bola sepak Malaysia.