
KRUBONG, 29 April – Ketua Jurulatih Melaka FC, E. Elavarasan berpuas hati terhadap persembahan anak buahnya meskipun terpaksa akur dengan kekalahan 1-2 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi (Selasa).
- Skuad menunjukkan peningkatan keyakinan dan keberanian menyerang, lebih agresif mencipta peluang gol.
- Elavarasan terkilan jaringan dibatalkan kerana didakwa ofsaid.
- Beliau bersikap profesional, menerima keputusan pengadil dan mengakui VAR mungkin mengubah keputusan.
- Xisco puji tentangan tuan rumah tetapi mahu pembaikan terutama di barisan pertahanan.
Elavarasan berkata, skuad kendaliannya menunjukkan peningkatan ketara dari segi keyakinan, terutama dalam usaha melakukan percubaan gol biarpun berdepan asakan bertali arus daripada juara bertahan itu.
“Walaupun gagal mencatatkan kemenangan, pemain kembali menunjukkan keberanian untuk menyerang.
“Namun, saya sedikit terkilan dengan keputusan pengadil yang membatalkan satu jaringan kami kerana didakwa ofsaid,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.
Mengulas lanjut mengenai isu pengadilan, beliau memilih untuk bersikap profesional dan menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.
“Pada akhirnya, kita perlu terima apa sahaja keputusan pengadil kerana mereka lebih mengetahui situasi di padang. Tidak ada gunanya untuk terus mempertikaikan selepas perlawanan tamat. Jika ada VAR, mungkin situasinya berbeza, namun buat masa ini kita terima keputusan yang dibuat,” jelas beliau.
Sementara itu, Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menggesa barisan pemainnya untuk mengambil pengajaran berguna daripada kemenangan tipis 2-1 menentang Melaka FC
Sambil memuji tentangan hebat yang diberikan pasukan tuan rumah, Munoz mengakui terdapat ruang yang perlu diperbaiki, khususnya di barisan pertahanan bagi menghadapi cabaran perlawanan akan datang.
“Kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol, namun dari segi pertahanan, kami perlu memberikan persembahan yang lebih baik. Adalah penting untuk kami belajar daripada perlawanan ini bagi meningkatkan kualiti permainan,” katanya.