
COMO, 4 Mac – Como dan Inter Milan terikat 0-0 dalam aksi separuh akhir pertama Coppa Italia.
- Como dan Inter seri 0-0 dalam separuh akhir pertama Coppa Italia, dengan Inter gagal mencatat sebarang percubaan tepat.
- Como mengawal permainan dan melepaskan beberapa peluang berbahaya, termasuk rembatan yang terkena tiang oleh Alex Valle.
- Inter membuat tiga pertukaran selepas sejam tetapi masih kurang ancaman; perlawanan timbal balik di San Siro akan tentukan tempat final.
Bermain sebagai tuan rumah, Como mensia-siakan peluang untuk membawa bekalan kelebihan ke perlawanan timbal balik. Manakala pelawat gagal mencatat sebarang percubaan tepat ke sasaran.
Como mengawal tempo permainan sepanjang babak pertama dan mencipta peluang lebih berbahaya.
Rembatan Nico Paz memaksa penjaga gol Inter, Josep Martinez melakukan satu penyelamatan penting, sementara rembatan Mergim Vojvoda dalam kotak penalti tersasar.
Peluang keemasan hadir sejurus selepas rehat apabila Ivan Smolcic melakukan hantaran lintang menemui Alex Valle yang tidak dikawal pertahanan Inter.
Namun, Valle mengecewakan penyokong tuan rumah apabila percubaannya tersasar dan hanya mengenai tiang gol.
Inter melakukan tiga pertukaran sebelum sejam permainan dengan memasukkan Marcus Thuram, Piotr Zielinski dan Denzel Dumfries, namun perubahan itu gagal meningkatkan ancaman jentera serangan mereka.
Ini merupakan penampilan separuh akhir pertama Como dalam tempoh 40 tahun, dengan kali terakhir pada 1986 di bawah kendalian mendiang Rino Marchesi yang meninggal dunia Ahad lalu.
Selepas musim tanpa trofi tahun lalu serta kekecewaan tersingkir awal dari Liga Juara Eropah musim ini, Inter masih berpeluang memburu kejuaraan berganda domestik.
Anak buah Cristian Chivu kini mendahului Serie A dengan kelebihan 10 mata dan dijangka memiliki kelebihan apabila beraksi di San Siro pada perlawanan timbal balik 22 April nanti.
Pemenang akan menentang sama ada Atalanta atau Lazio pada aksi akhir Mei depan. – AFP