Ceferin tidak berminat ganti Infantino sebagai Presiden FIFA

Presiden UEFA, Aleksander Ceferin (kanan) ramal Presiden FIFA, Gianni Infantino mungkin terpaksa meletak jawatan atau berdepan pencabar pada Kongres FIFA tahun depan – Foto AFP

LONDON, 24 Ogos – Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin tidak berminat menggantikan Gianni Infantino sebagai Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Tekanan terhadap Infantino meningkat selepas rancangan pelaburan swasta untuk kejohanan FIFA dibatalkan.
  • UEFA mengancam boikot pertandingan FIFA dan beberapa konfederasi serta persatuan kebangsaan menarik balik sokongan.
  • Ceferin meramalkan Infantino mungkin terpaksa berundur atau berdepan pencabar, dengan Montagliani dan Sheikh Salman disebut berpotensi.

Beliau bagaimanapun memberi amaran pemimpin badan induk bola sepak dunia itu perlu berundur atau berdepan cabaran kepimpinan pada Mac tahun depan.

Tekanan agar Infantino meletak jawatan semakin meningkat susulan pelan yang kini dibatalkan bagi mendapatkan pelaburan swasta dalam kejohanan FIFA, termasuk Piala Dunia lelaki dan wanita.

Sementara itu, UEFA mengancam memboikot pertandingan FIFA, dengan beberapa konfederasi benua dan persatuan bola sepak kebangsaan turut menarik balik sokongan terhadap Infantino.

Bagaimanapun, Ceferin menolak kemungkinan bertanding untuk menggantikan Infantino.

Menurut Presiden UEFA berusia 58 tahun itu, beliau tidak berminat dengan jawatan berkenaan atas dua sebab.

“Saya menyayangi UEFA dan tugas di badan induk bola sepak Eropah itu. Selain itu, sudah tiba masanya untuk saya menikmati kehidupan.

“Kredibiliti saya juga lebih tinggi jika tidak berminat untuk merebut jawatan presiden FIFA, ” katanya.

Ceferin lantang mengkritik Infantino selepas presiden FIFA itu mendedahkan rancangan kontroversi untuk mendapatkan pelaburan swasta bagi mengendalikan kejohanan FIFA.

Beliau juga percaya kedudukan Infantino kini terancam dengan Ceferin meramalkan beliau mungkin terpaksa meletak jawatan atau berdepan cabaran kepimpinan sekiranya cuba mempertahankan jawatan dalam Kongres FIFA yang dijadualkan berlangsung di Maghribi pada Mac 2027.

Infantino yang juga bekas Setiausaha Agung UEFA, mendapat sokongan meluas negara-negara Eropah ketika dilantik sebagai presiden FIFA menggantikan Sepp Blatter pada 2016.

Bagaimanapun, Ceferin yang mendedahkan beliau tidak lagi berhubung dengan Infantino sejak kontroversi itu tercetus, menegaskan situasi ketika ini amat berbeza.

“Terdapat dua kemungkinan boleh berlaku.

“Pertama, Infantino menyedari beliau tidak lagi mendapat sokongan, bukan sahaja daripada pihak yang mempunyai hak mengundi, malah komuniti bola sepak, penyokong, pemain, bekas pemain dan jurulatih.

“Pilihan kedua ialah beliau (Infantino) meneruskan pencalonan pada pemilihan Mac depan, ” kata Ceferin.

Namun, Ceferin menjangkakan Infantino akan berdepan pencabar, walaupun beliau belum mengetahui siapa calon berkenaan.

Presiden Konfederasi Bolasepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF), Victor Montagliani dan Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Sheikh Salman bin Ebrahim al-Khalifa, antara dua tokoh yang dianggap berpotensi mencabar kedudukan Infantino. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.