Beberapa wakil negara tersingkir awal di Terbuka Malaysia

Kekecewaan terpahat pada wajah beregu wanita negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan pada akhir perlawanaan ketika tumpas kepada beregu Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma dan Meilysa Trias Puspitasari pada kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Petronas 2026 di Stadium Axiata Arena/ Foto BERNAMA

BUKIT JALIL, 8 Januari – Perjalanan wakil negara pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia berdepan cabaran apabila beberapa pemain utama tersingkir seawal pusingan awal kejohanan yang berlangsung di Axiata Arena, di sini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pearly Tan–M. Thinaah tersingkir pusingan kedua, tewas kepada pasangan Indonesia selepas perlawanan sengit.
  • Goh Sze Fei–Nur Izzuddin dan Leong Jun Hao juga tersingkir awal, menamatkan harapan beregu lelaki dan perseorangan.
  • Chen Tang Jie–Toh Ee Wei satu-satunya wakil Malaysia yang mara ke suku akhir.

Dalam acara beregu wanita, pasangan negara Pearly Tan–M. Thinaah terkandas di pusingan kedua selepas tewas kepada gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma–Meilysa Trias Puspitasari, yang kini menghuni ranking ke-60 dunia.

Turun sebagai pilihan kedua kejohanan, Pearly-Thinaah memberikan tentangan sengit sebelum akur dengan kekalahan 24-26, 17-21 dalam perlawanan selama 53 minit, sekali gus mencatat kekalahan pertama mereka kepada pasangan Indonesia itu selepas lima pertemuan sebelum ini.

Mengulas perlawanan tersebut, Pearly mengakui lawan tampil lebih bersedia dan beraksi dengan lebih kemas.

“Kalah dan menang adalah perkara biasa dalam sukan. Lawan bermain lebih baik hari ini dan itu yang perlu kami terima serta perbaiki selepas ini,” katanya.

Menurut Pearly, fokus utama mereka kini adalah membina semula keyakinan dan menilai semula corak permainan menjelang kejohanan seterusnya.

“Yang penting sekarang adalah membina semula keyakinan dan memberi tumpuan kepada corak permainan sendiri tanpa terlalu lama dibelenggu kekalahan,” katanya.

Sementara itu, Thinaah menzahirkan penghargaan kepada penyokong tempatan yang hadir memberikan sokongan padu.

“Kami amat menghargai sokongan peminat hari ini. Walaupun keputusan tidak memihak kepada kami, ia menjadi satu pengajaran penting dan kami akan kembali dengan persiapan lebih baik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beregu lelaki nombor tujuh dunia negara, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani, turut tersingkir selepas tewas kepada pasangan England, Ben Lane–Sean Vendy, yang berada di ranking ke-16 dunia, 13-21, 17-21 dalam tempoh 42 minit.

Bagi acara perseorangan lelaki, wakil terakhir negara Leong Jun Hao gagal meneruskan cabaran selepas tewas kepada pemain utama Indonesia, Jonatan Christie, dengan keputusan 18-21, 11-21 dalam perlawanan selama 55 minit.

Sementara itu, beregu campuran negara Goh Soon Huat–Shevon Jemie Lai turut terkandas selepas tewas kepada pasangan Amerika Syarikat, Presley Smith–Jennie Gai, 9-21, 17-21.

Setakat ini, juara dunia beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, muncul sebagai satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya meneruskan cabaran ke peringkat suku akhir kejohanan.