
KUALA LUMPUR, 17 Januari – Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 di Qingdao, China dilihat sebagai platform terbaik buat barisan pemain muda negara mengutip pengalaman serta membuktikan kemampuan di peringkat antarabangsa.
- Pemain muda diberi peluang besar untuk mengutip pengalaman dan tunjukkan kemampuan antarabangsa.
- BAM gabungkan pemain perseorangan dan beregu muda untuk menguatkan kesatuan pasukan.
- Skuad lelaki diundi bersama Indonesia dan Myanmar, manakala wanita berdepan tuan rumah China.
Ia susulan pengumuman senarai pemain oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini yang menyaksikan ketiadaan tonggak senior termasuk beregu lelaki utama negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, serta pasangan beregu wanita, Pearly Tan–M. Thinaah.
Sebaliknya, tumpuan diberikan kepada pemain perseorangan lelaki, Justin Hoh, yang dijangka menggalas peranan penting bersama gandingan beregu Wan Arif Wan Junaidi–Yap Roy King bagi memperkuatkan kem negara pada kejohanan yang dijadual berlangsung dari 3 hingga 8 Februari depan.
Selain Justin, BAM turut mempertaruhkan Aidil Sholeh Sadikin, Eogene Ewe dan Kong Wei Xiang dalam kategori perseorangan lelaki, manakala beregu lelaki turut dibarisi pasangan Haikal Nazri–Chong Hon Jian, Aaron Tai–Kang Khai Xing serta Arif–Roy King.
Bagi saingan berpasukan lelaki, Malaysia yang muncul juara edisi 2022 dan naib juara pada 2024, diundi dalam Kumpulan D bersama Indonesia dan Myanmar.
Sementara itu, skuad berpasukan wanita negara yang diundi dalam Kumpulan W bersama tuan rumah, China, menampilkan K. Letshanaa, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi dan Oo Shan Zi bagi acara perseorangan.
Pasangan Carmen Ting–Ong Xin Yee, Chong Jie Yu–Vanessa Ng serta Cheng Su Hui–Tan Zhing Yi menjadi sandaran bagi kategori beregu wanita.
Pada edisi 2020 dan 2022, skuad wanita negara berjaya meraih pencapaian terbaik dalam kejohanan ini dengan memperoleh pingat gangsa.