
KUALA LUMPUR, 24 Mac – Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 yang akan berlangsung di Ningbo, China pada 7 hingga 12 April ini bakal menjadi penentu kepada pemain beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi bersama gandingannya, Yap Roy King untuk mendapatkan tempat dalam skuad Piala Thomas negara.
- Sasaran mereka di BAC adalah sekurang-kurangnya suku akhir, idealnya naik podium.
- Ketua jurulatih mengakui sukar menentukan pasangan ketiga untuk slot terakhir Piala Thomas.
- Dua beregu utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun hampir pasti disenaraikan.
- Wan Arif-Roy King masih tidak konsisten, belum lepasi suku akhir dan lemah mengawal tekanan pada mata kritikal.
Beliau berkata matlamat utama mereka di kejohanan itu adalah untuk sekurang-kurangnya melangkah ke suku akhir selepas gagal melakukannya dalam kebanyakan pertandingan sebelum ini.
“Perkara itu, kita tak nak fikir sangat. Sebab nanti kalau takut fikir banyak, nanti lagi tak boleh main. Jadi, kita hanya fikir untuk sasaran kita untuk BAC nanti. Sasaran kita, setidaknya kita nak naik podium. Kalau tak dapat podium pun, setidaknya suku akhir,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.
Sebelum ini, ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi mengakui berdepan kesukaran untuk menentukan pasangan ketiga untuk mengisi slot terakhir Piala Thomas negara untuk aksi yang bakal berlangsung di Horsens, Denmark, bulan hadapan.
Ketika ini, dua beregu utama negara iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun hampir pasti untuk disenaraikan ke kejohanan berprestij itu.
Selain Wan Arif-Roy King, pasangan Goh Sze Fei-Nor Izzuddin Mohd Rumsani dan juga berpeluang untuk disenaraikan ke dalam skuad negara.
Mengakui prestasi semasa masih belum konsisten, Wan Arif berkata gandingannya belum berjaya melepasi peringkat suku akhir dalam mana-mana kejohanan setakat musim ini.
Katanya, persembahan tahun ini agak kurang memuaskan kerana masih belum berjaya melepasi pusingan awal dan berharap dapat mengubah perkara itu di BAC.
Beliau turut mengenal pasti kelemahan utama mereka ketika ini adalah kegagalan mengawal tekanan pada mata-mata kritikal walaupun sering mendahului perlawanan.