
NEW SOUTH WALES, 21 Oktober – Atlet muda memanah berkuda negara, Abu Bakr Muhamad Akmal mencuri tumpuan pada Kejohanan Serantau Oceania IHAA 2026 apabila meraih dua pingat emas dan satu perak, selain mencipta rekod baharu kategori junior dalam acara Tower 90.
- Abu Bakr, 14 tahun, merekod 159 mata dalam acara Tower 90 Junior.
- Beliau menjuarai Raid 234 Junior, juara keseluruhan kategori junior, dan meraih perak dalam Hunt Track Junior.
- Abdurrahman Abu Hanifah menjuarai Hunt Track Senior serta muncul naib juara Tower 90 dan keseluruhan senior.
- Hazzil Hamidi memenangi emas Hunt Track Junior; kejayaan mereka menunjukkan potensi besar dan memberi inspirasi generasi pelapis.
Lebih membanggakan atlet berusia 14 tahun itu merekodkan 159 mata dalam acara berkenaan, sekali gus melakar pencapaian istimewa pada kejohanan yang berlangsung dari 16 hingga 18 Oktober lalu.
Menerusi satu kenyataan di media sosial ketua jurulatih kontinjen negara, Muhammad Akmal Mohamad Dahlan memaklumkan, Abu Bakr bukan sahaja menyerlah dalam acara Tower 90 Junior, malah turut menjuarai Raid 234 Junior dan muncul juara keseluruhan kategori junior, selain meraih pingat perak dalam Hunt Track Junior.
Kejayaan itu membuktikan keupayaan Abu Bakr menguasai beberapa disiplin memanah berkuda yang menuntut ketepatan, kepantasan serta kemahiran menunggang yang tinggi.
Dalam kategori senior, Abdurrahman Abu Hanifah turut mengharumkan nama negara apabila menjuarai Hunt Track Senior, selain meraih tempat kedua dalam acara Tower 90 dan keseluruhan senior.
Seorang lagi atlet negara, Hazzil Hamidi turut menyumbang kejayaan menerusi pingat emas dalam acara Hunt Track Junior.
Pencapaian ketiga-tiga atlet itu mencerminkan potensi besar bakat memanah berkuda negara, khususnya dalam kalangan atlet muda, untuk terus berkembang dan melakar kejayaan di pentas antarabangsa.
Kejayaan Abu Bakr mencipta rekod baharu itu juga menjadi suntikan semangat kepada generasi pelapis untuk terus mengasah bakat, meningkatkan prestasi dan mengharumkan nama Malaysia dalam sukan memanah berkuda.