Alonso beri bayangan kerjaya F1 berakhir selepas musim 2027

Fernando Alonso, Pemandu F1 dari Sepanyol / AFP

BARCELONA, 12 Jun– Pemandu Formula Satu (F1) dari Sepanyol, Fernando Alonso, dijangka menamatkan kariernya dalam sukan itu menjelang akhir musim 2027 atau mungkin lebih awal, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlumbaan Barcelona tahun ini adalah yang terakhir sehingga 2028 kerana giliran dengan Spa-Francorchamps.
  • Alonso anggap perlumbaan ini istimewa, mungkin penampilan terakhirnya di Barcelona dan mengucapkan terima kasih kepada penyokong.
  • Jentera bergelut; beliau ke-18 dengan satu mata, kontrak tamat hujung musim dan musim ini mungkin yang terakhir.

Perlumbaan di Barcelona tahun ini adalah yang terakhir sehingga 2028 berikutan litar itu akan bergilir dengan Litar de Spa-Francorchamps di Belgium mulai tahun hadapan.

Juara dunia dua kali berusia 44 tahun itu tidak menjangka beliau akan kembali berlumba di Barcelona dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Ia akan menjadi hujung minggu yang istimewa. Ini mungkin perlumbaan terakhir saya di Barcelona dalam Formula Satu, jadi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua,” kata pemandu Aston Martin itu dalam sidang media pada Khamis menjelang perlumbaan Grand Prix hujung minggu ini.

“Setiap kali kami datang ke Barcelona, ia sentiasa menjadi satu perayaan. Saya rasa ini Grand Prix saya yang ke-23 di sini dan semuanya sangat bermakna. Yang terakhir ini juga perlu menjadi sesuatu yang istimewa.”

Jentera Alonso bergelut sepanjang musim ini dan beliau kini berada di tangga ke-18 dalam carta keseluruhan dengan sekadar memungut satu mata daripada enam perlumbaan Grand Prix hujung minggu.

“Saya akan cuba menikmati hujung minggu ini. Saya tidak akan kompetitif dan saya mungkin tidak berada lama di dalam kereta semasa sesi kelayakan.

Dalam perlumbaan sebenar, saya harap begitu, tetapi bukan pada tahap prestasi yang kami semua inginkan. Saya mahu semua orang tetap menikmati hujung minggu ini,” katanya.

Kontrak Alonso adalah sehingga penghujung musim ini dan ia juga berkemungkinan menjadi musim terakhirnya dalam F1.

Kemenangan terakhir Alonso daripada 32 kemenangan yang diraihnya adalah pada 2013 bersama Ferrari di litar Barcelona.

Beliau memenangi kejuaraan dunia pada 2005 dan 2006 bersama Renault, selepas membuat penampilan sulung dalam F1 pada 2001. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.