
KUALA LUMPUR, 7 November – Selepas muncul juara kategori PUTA 70 meter pada Kejohanan Ulsan Memanah Tradisional Antarabangsa 2026, Ahmad Harun, 56, menyasarkan untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Korea Selatan tahun depan.
- Cuaca sejuk bawah 10 darjah Celsius mengganggu teknik panahan dan perlu kawal tekanan berdepan pemanah hebat dari Kazakhstan, Rusia dan Mongolia.
- Latihan sejak awal tahun, tiga siri simulasi dan fokus membaiki teknik membidik menjadi persediaan utama.
- Pemilihan busur dan anak panah yang sesuai antara faktor kejayaan.
- Berharap memanah tradisional dijadikan sukan teras di sekolah untuk tarik minat generasi muda.
Pesara Kementerian Kesihatan (KKM) itu mengakui berdepan cabaran cuaca sejuk bawah 10 darjah Celsius yang mengganggu panahannya, selain cabaran menghadapi saingan bertaraf dunia.
“Cuaca sejuk bawah 10 darjah Celsius agak mengganggu panahan saya. Saya juga perlu mengawal tekanan kerana berdepan pemanah hebat dari Kazakhstan, Rusia dan Mongolia,” katanya ketika dihubungi RTM.
Bagi menghadapi kejohanan itu, beliau menjalani latihan sejak awal tahun untuk memperbaiki teknik membidik sasaran, selain menyertai tiga siri simulasi. Pemilihan busur dan anak panah yang bersesuaian turut menjadi antara faktor kejayaannya.
Ahmad turut berharap sukan memanah tradisional dijadikan sukan teras di sekolah bagi menarik minat generasi muda terhadap seni warisan berkenaan.
“Amat wajar sukan memanah dijadikan sukan teras di sekolah-sekolah di Malaysia. Dalam masa terdekat, saya akan menyertai satu kejohanan di Temboro, Indonesia bersama rakan-rakan dari Terengganu,” katanya.