Kemelut Hamilton-Leclerc ingatkan Wolff kisah lama

Hamilton-Leclerc diminta lupakan sengketa/Foto AFP

SAO PAULO, 7 November – Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff menyifatkan ketegangan antara dua pemandu Ferrari, Lewis Hamilton dan Charles Leclerc mengingatkannya kepada persaingan sengit antara Hamilton dan Nico Rosberg ketika bersama Mercedes, sedekad lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wolff memahami situasi Ketua Pasukan Ferrari, Fred Vasseur, susulan pertembungan Hamilton dan Leclerc di Grand Prix Mexico.
  • Beliau berkata persaingan antara pemandu berkaliber tinggi yang mahu menang boleh mencetuskan ketegangan dalam pasukan.
  • Vasseur menjelaskan pertembungan tidak menyingkirkan jentera tetapi menjejaskan peluang Ferrari meraih kedudukan satu-dua.

Wolff berkata, beliau memahami situasi yang dihadapi Ketua Pasukan Ferrari, Fred Vasseur susulan insiden pertembungan antara Hamilton dan Leclerc pada Grand Prix Mexico, Ahad lalu.

Menurutnya, persaingan antara dua pemandu berkaliber tinggi yang masing-masing mahu menang boleh mencetuskan ketegangan dalam pasukan.

Beliau turut mengimbas insiden Grand Prix Sepanyol 2016 apabila Hamilton dan Rosberg bertembung pada pusingan pertama sehingga kedua-duanya terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal.

Insiden itu membuka laluan kepada Max Verstappen daripada Red Bull untuk meraih kemenangan sulungnya dalam Formula Satu.

Wolff berkata, insiden serius seumpama itu kadangkala menjadi pengajaran penting bagi memastikan pemandu memahami batas persaingan dan menghormati kepentingan pasukan.

Beliau menegaskan, setiap pemandu perlu mengutamakan pasukan serta ribuan kakitangan yang bekerja keras di sebalik kejayaan sesebuah pasukan.

Sementara itu, Vasseur menjelaskan pertembungan Hamilton dan Leclerc di Mexico tidak menyebabkan kedua-dua jentera tersingkir, namun menjejaskan peluang Ferrari meraih kedudukan satu-dua. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.