
AGADIR, 11 Januari – Bintang Liverpool, Mohamed Salah menjadi watak utama buat negaranya, Mesir apabila menyingkirkan juara bertahan Ivory Coast dengan kemenangan 3-2 dalam aksi suku akhir Piala Negara Afrika (AFCON) pada Sabtu.
- Mohamed Salah jadi wira dengan gol penting, menghidupkan impian AFCON yang selama ini sukar dirangkulnya.
- Mesir menang dramatik 3-2 selepas awal memimpin dua gol dan bertahan sampai wisel penamat.
- Kemenangan menempah tempat separuh akhir menentang Senegal dan hentikan dominasi juara bertahan Ivory Coast.
Pada perlawanan penuh dramatik itu, Omar Marmoush dan Ramy Rabia meletakkan Mesir di depan dengan dua gol pada separuh masa pertama sebelum Ivory Coast merapatkan jurang melalui gol sendiri Ahmed Aboul-Fetouh.
Salah kemudian meledak gol ketiga Mesir seawal babak kedua, namun Guela Doue kembali menghidupkan peluang Ivory Coast dengan jaringan kedua.
Mesir kemudian terpaksa bertahan sehingga wisel penamat untuk memastikan kemaraan ke kelompok empat terbaik.
Bagi Salah, kejayaan tersebut menghidupkan kembali impiannya untuk merangkul kejuaraan AFCON yang selama ini terlepas daripada genggamannya.
Ketua pasukan Mesir berusia 33 tahun itu sebelum ini dua kali tewas di pentas akhir iaitu kepada Cameroon pada 2017 dan Senegal pada 2022, selain dua kali tersingkir di pusingan 16 terbaik.
Kemenangan pada aksi menentang Ivory Coast membolehkan skuad yang dijuluki ‘The Pharaohs’ menempah tiket bertemu dengan Senegal di separuh akhir Rabu ini.
Sementara itu, kekalahan kepada Mesir menyaksikan Ivory Coast menjadi juara bertahan kelapan berturut-turut gagal mempertahankan gelaran sejak Mesir melakukannya pada 2010.
Statistik turut memihak Mesir yang kini mencatat 11 kemenangan ke atas Ivory Coast sejak pertemuan pertama 56 tahun lalu, berbanding hanya sekali dimenangi The Elephants. – AFP