Aaron-Wooi Yik, Sze Fei-Izzuddin melangkah bergaya ke suku akhir Malaysia Masters

Beregu lelaki negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika menentang beregu Perancis Julien Maio dan William Villeger/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Beregu lelaki negara terus mempamerkan prestasi meyakinkan di kejohanan Perodua Malaysia Masters 2026 apabila dua pasangan utama melangkah ke suku akhir selepas selepas mendominasi aksi pusingan kedua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menang mudah 21-12, 21-10; akan berdepan Hu Ke Yuan dan Lin Xiang Yi di suku akhir.
  • Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin menewaskan rakan senegara 21-14, 21-12; akan bertemu Kakeru Kumagai dan Hiroki Nishi.
  • Jika kedua pasangan Malaysia menang, separuh akhir semua-Malaysia akan menjanjikan saingan sengit dan tumpuan peminat.

Beraksi di Arena Unifi, pasangan utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, mencatat kemenangan mudah 21-12, 21-10 ke atas pasangan Perancis, Julien Maio dan William Villeger dalam tempoh hanya 30 minit.

Soh Wooi Yik menyifatkan prestasi mereka semakin meningkat selepas berjaya menyesuaikan diri dengan corak permainan dan keadaan gelanggang sejak aksi pusingan pertama semalam.

“Lebih baik daripada semalam. Kami terpaksa menyesuaikan diri dengan shuttle, jadi permainan lebih rapi. Kurang kesilapan, jadi saya sangat puas hati,” katanya.

Sementara itu, Aaron Chia menegaskan mereka tidak terlalu memikirkan rekod pertemuan atau mahu membalas kekalahan lalu, sebaliknya lebih fokus kepada corak permainan sendiri di hadapan penyokong tempatan.

“Kami tak fikir sangat tentang rekod pertemuan. Di gelanggang, kami cuma fokus kepada permainan sendiri dan rasa lebih selesa,” jelasnya.

Dengan kemenangan tersebut, pasangan pilihan utama itu akan berdepan cabaran dari China, Hu Ke Yuan dan Lin Xiang Yi, dalam aksi suku akhir.

Sementara itu, satu lagi pasangan negara turut meneruskan kemaraan apabila pasangan pilihan ketiga kejohanan, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin, tidak berdepan masalah menewaskan rakan senegara, Chia Weijie dan Teo Ee Yi, menerusi kemenangan straight set 21-14, 21-12.

Gandingan Sze Fei-Izzuddin seterusnya akan menentang pasangan Jepun, Kakeru Kumagai dan Hiroki Nishi yang merupakan pilihan kelapan kejohanan di peringkat suku akhir.

Menariknya, jika kedua-dua pasangan Malaysia berjaya melepasi halangan masing-masing, negara berpeluang menyaksikan aksi separuh akhir sesama sendiri yang pastinya menjanjikan saingan sengit serta tumpuan peminat badminton tanah air.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.