
GEORGE TOWN, 13 April – Seramai 121 atlet Pulau Pinang menerima insentif melalui pelbagai bentuk bantuan bawah program Kerjaya dan Pendidikan Atlet Pulau Pinang (PACE).
- Insentif PACE merangkumi skim pencen, bantuan pendidikan, biasiswa, SKAM dan Skim Sukan Awam Pulau Pinang 2030 (SAP2030).
- Dua atlet menerima Skim Insentif Kemenangan Sukan (SKIMAS) berjumlah RM12,000 setelah memenangi pingat emas Para ASEAN.
- Kerajaan menekankan pembangunan jangka panjang termasuk pendidikan, kebajikan dan kesinambungan kerjaya bagi atlet.
Inisiatif tersebut merangkumi skim pencen, bantuan pendidikan, biasiswa, Skim Kebajikan Atlet Negeri (SKAM) dan Skim Sukan Awam Pulau Pinang 2030 (SAP2030).
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, dua atlet turut menerima Skim Insentif Kemenangan Sukan (SKIMAS) berjumlah RM12,000 selepas berjaya meraih pingat emas pada Temasya Para ASEAN.
Jelas beliau, inisiatif itu bukan sekadar mengiktiraf pencapaian semasa, malah memberi penekanan kepada pembangunan jangka panjang yang merangkumi aspek pendidikan, kebajikan serta kesinambungan kerjaya masa depan atlet.
“34 penerima insentif tuisyen, empat bagi insentif pendidikan Institut Pengajian Tinggi (IPT), 26 penerima Insentif Galakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 12 penerima biasiswa sukan, manakala dua lagi di bawah Skim Kebajikan Atlet Negeri Pulau Pinang (SKAM).
“Selain itu, seramai 37 atlet gimnastik dan dua atlet karate turut menerima insentif menerusi inisiatif Skim Sukan Awam Pulau Pinang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Insentif SKIMAS Para ASEAN Thailand 2025 dan Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pengelola Induk Temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Malaysia 2027 di Komtar, hari ini.