
KUALA LUMPUR, 26 November – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti risiko serta pendekatan kawal selia yang bersesuaian terhadap perkhidmatan permainan dalam talian.
- Kajian meneliti keselamatan kanak-kanak, interaksi pengguna, kandungan permainan dan perlindungan oleh penyedia perkhidmatan.
- Hasil kajian boleh menjadi asas kepada had umur atau mekanisme pengesahan umur bagi platform permainan dalam talian.
- Kerajaan tidak berhasrat mengenakan pelesenan khas, namun langkah kawal selia akan berasaskan bukti dan risiko.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kajian berkenaan merangkumi aspek keselamatan kanak-kanak, interaksi antara pengguna, ciri dan kandungan permainan serta langkah perlindungan yang dilaksanakan penyedia perkhidmatan.
MCMC turut meneliti pendekatan dan amalan di peringkat antarabangsa bagi mengenal pasti langkah perlindungan yang bersesuaian dan berkesan.
“Hasil kajian tersebut akan menjadi asas dalam menentukan keperluan untuk memperkenal langkah perlindungan atau pendekatan kawal selia tambahan termasuk kemungkinan pelaksanaan had umur dan mekanisme pengesahan umur bagi penggunaan platform permainan dalam talian.
“…dengan mengambil kira konteks Malaysia, perkembangan industri, risiko yang dikenal pasti serta keberkesanan langkah perlindungan sedia ada”, katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Ipoh Timor, Lee Chuan How pada waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Fahmi memaklumkan kerajaan ketika ini tidak berhasrat memperkenalkan syarat pelesenan khas kepada penyedia perkhidmatan permainan dalam talian seperti yang dilaksanakan terhadap platform media sosial.
Bagaimanapun, kerajaan akan terus komited memastikan sebarang langkah kawal selia yang diperkenalkan berasaskan bukti dan tahap risiko, selain mengutamakan keselamatan kanak-kanak serta remaja tanpa menjejaskan pembangunan industri permainan dalam talian secara bertanggungjawab.