
KUALA LUMPUR, 26 November – Sebanyak 2.23 bilion e-Invois telah dijana melibatkan lebih 270,000 pembayar cukai direkodkan sejak pelaksanaan inisiatif itu secara berperingkat bermula 2024 hingga kini.
- Pelaksanaan e-Invois fasa empat menaikkan ambang jualan tahunan daripada RM1 juta kepada RM3 juta.
- Peniaga dengan jualan tahunan di bawah RM3 juta dikecualikan daripada pelaksanaan e-Invois.
- Seramai 69,000 PMKS dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM3 juta melaksanakan e-Invois secara sukarela.
- Kerajaan menyediakan insentif cukai, termasuk elaun modal peralatan ICT dan potongan sehingga RM50,000 bagi khidmat perundingan e-Invois.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 5,500 pembayar cukai telah melaksanakan e-Invois bagi fasa satu, 14,600 bagi fasa dua, 51,900 bagi fasa tiga dan 26,000 bagi fasa empat.
Manakala, 172,000 lagi pembayar cukai melaksanakannya secara sukarela meskipun tidak tertakluk kepada mana-mana fasa pelaksanaan.
“Bagi pelaksanaan fasa 4, nilai ambang jualan tahunan telah dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta sepertimana pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 30 Ogos 2026.
“Dengan kenaikan nilai ambang ini, peniaga penjualan tahunan kurang daripada RM3 juta adalah dikecualikan daripada pelaksanaan e-Invois.
“Sungguhpun begitu, seramai 69,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mempunyai jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM3 juta telah melaksanakan secara sukarela”, katanya.
Mengulas lanjut, kerajaan turut menyediakan insentif cukai kepada semua perniagaan bagi mengurangkan kos pematuhan e-Invois, termasuk peniaga yang dikecualikan daripada pelaksanaannya.
Antara insentif tersebut ialah membenarkan tuntutan elaun modal bagi pembelian peralatan ICT dan perisian komputer dibuat secara sekali gus dalam tempoh setahun bagi tahun taksiran 2026 hingga 2027.
Selain itu, peniaga turut layak menuntut potongan cukai sehingga RM50,000 setahun bagi kos mendapatkan khidmat perundingan e-Invois untuk tahun taksiran 2024 hingga 2027.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada sesi persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.