Penempatan petugas kesihatan perlu ikut keperluan perkhidmatan – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program khas Dialog Negara di Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 November – Penempatan doktor dan petugas kesihatan perlu diselaraskan mengikut keperluan perkhidmatan, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi memastikan agihan tenaga kerja lebih seimbang serta mengelakkan kekurangan petugas dalam sektor kesihatan awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penempatan doktor dan petugas kesihatan akan disesuaikan mengikut keperluan, termasuk di kawasan pedalaman, demi agihan tenaga kerja lebih seimbang.
  • Kesihatan kekal keutamaan kerajaan, dengan peruntukan kedua terbesar selepas pendidikan; penamatan sistem doktor kontrak turut memerlukan dana tambahan.
  • Kesedaran tentang obesiti, pengambilan gula dan senaman perlu dipertingkat melalui perubahan gaya hidup serta budaya pemakanan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keperluan rakyat di kawasan yang masih kekurangan tenaga profesional perlu turut diberi perhatian dalam menentukan penempatan petugas kesihatan.

“Justeru, saya memahami keperluan untuk menyesuaikan penempatan bagi mengelakkan doktor berhenti berkhidmat. Apa yang boleh kita ubah suai, kita akan sesuaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program khas Dialog Negara yang disiarkan menerusi TV1 dan aplikasi RTMKlik malam ini.

Datuk Seri Anwar berkata, perkara sama turut melibatkan profesion lain seperti guru dan jurutera yang diperlukan untuk berkhidmat di kawasan pedalaman termasuk Sabah, Sarawak dan Pahang.

Dalam pada itu, beliau berkata sektor kesihatan kekal sebagai antara keutamaan kerajaan dengan peruntukan kedua terbesar dalam Belanjawan MADANI selepas pendidikan.

Menurutnya, keputusan menamatkan sistem pengambilan doktor secara kontrak turut memerlukan peruntukan tambahan mencecah ratusan juta ringgit.

“Apabila kita ambil keputusan untuk menamatkan sistem kontrak dia juga mencecah ratusan juta ringgit. Tetapi saya fikir untuk berlaku adil terpaksalah kita cari dana untuk menampung,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penjagaan kesihatan, khususnya berkaitan obesiti, pengambilan gula berlebihan dan amalan bersenam.

Katanya, perubahan gaya hidup dan budaya pemakanan penting bagi mengurangkan risiko penyakit serta beban terhadap sistem kesihatan awam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.