China lancar Shenzhou-24, bawa angkasawan Pakistan ke orbit

Kapal angkasa Shenzhou-24 yang membawa tiga angkasawan, termasuk warga Pakistan, Muhammad Zeeshan Ali / Foto VIORY

BEIJING, 25 November – China berjaya melancarkan kapal angkasa Shenzhou-24 yang membawa tiga angkasawan, termasuk warga Pakistan, Muhammad Zeeshan Ali, ke orbit pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Muhammad Zeeshan Ali menjadi angkasawan asing pertama menyertai misi penerbangan angkasa lepas China.
  • Zeeshan dijadualkan menjalankan eksperimen selama kira-kira seminggu di Tiangong sebelum pulang menggunakan Shenzhou-23.
  • Misi itu susulan perjanjian kerjasama angkasa lepas China-Pakistan yang dimeterai pada Februari 2025.

Pelancaran menggunakan roket Long March-2F dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan pada 8.18 pagi waktu tempatan.

Misi itu turut membawa komander Tang Hongbo dan jurutera penerbangan Wu Yi, manakala Zeeshan Ali menjadi angkasawan asing pertama menyertai misi penerbangan angkasa lepas China.

Zeeshan dijadualkan berada di stesen angkasa Tiangong selama kira-kira seminggu bagi menjalankan eksperimen sebelum pulang ke bumi menggunakan Shenzhou-23.

Sementara itu, Tang dan Wu akan meneruskan misi selama enam bulan, manakala seorang lagi angkasawan China, Zhu Yangzhu, dijadualkan menjalani misi selama setahun.

Pelancaran itu susulan perjanjian kerjasama angkasa lepas antara China dan Pakistan yang dimeterai pada Februari 2025.

Komander pusat pelancaran, Li Benqi mengesahkan misi itu berjaya selepas kapal angkasa berkenaan memasuki orbit yang ditetapkan.

“Menurut data penerbangan roket dan pengiraan pemantauan Pusat Kawalan Penerbangan Aeroangkasa Beijing, roket Long March 2F Yao-24 berjaya menempatkan kapal angkasa dengan angkasawan Shenzhou-24 ke orbit yang ditetapkan dengan tepat dan kapal angkasa itu beroperasi seperti biasa.

“Saya mengisytiharkan misi pelancaran Shenzhou-24 berjaya sepenuhnya,” katanya. – VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.