
KUALA LUMPUR, 25 November – Atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin yang kehilangan tangan kanan akibat kemalangan motosikal minggu lalu, menunjukkan perkembangan positif apabila sudah mula bercakap sejak beberapa hari lalu.
- Hafizuddin mengalami migrain dan kurang tidur, dipercayai berpunca daripada tekanan emosi serta trauma.
- Keadaan emosinya semakin baik hasil sokongan kaunseling harian.
- Bekas ahli psikologi sukan ISN, Nor Azura Mat Nasir, membimbingnya atas permintaan peribadi Hafizuddin.
- Nor Azura meluangkan masa sehingga 12 jam sehari untuk membantu mengurangkan tekanan emosinya.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, atlet berusia 22 tahun itu bagaimanapun mengalami masalah kurang tidur dan migrain yang dipercayai berpunca daripada tekanan emosi serta trauma akibat insiden berkenaan.
Menurut beliau, keadaan emosi pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2026 itu semakin bertambah baik hasil sokongan kaunseling harian yang diberikan oleh bekas ahli psikologi sukan Institut Sukan Negara (ISN), Nor Azura Mat Nasir.
“Secara umumnya baik. Dua tiga hari sebelum ini dia (Hafizuddin) dah boleh bercakap.
“Namun, beliau kini mengalami migrain akibat kurang tidur, berkemungkinan disebabkan emosi dan trauma yang dialaminya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi lawatan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria ke atas atlet berkenaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai proses pemulihan Hafizuddin, Datuk Ayub berkata, kehadiran Nor Azura yang kini berkhidmat di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam adalah atas permintaan peribadi atlet itu sendiri.
Difahamkan, atlet kelahiran Perlis itu mendapat bimbingan psikologi Nor Azura sejak 2024, dengan ahli psikologi berkenaan meluangkan masa sehingga 12 jam sehari bersama Hafizuddin bagi membantu mengurangkan tekanan emosinya.
“Kita bertuah kerana Nor Azura berada di sini untuk menyokong Hafizuddin sejak hari kedua beliau dipindahkan ke HKL dari Hospital Ampang.
“Nor Azura sebelum ini pernah menjadi pakar psikologi sukan bagi skuad angkat berat negara dan Hafizuddin berasa sangat selesa dengannya,” jelasnya.
Minggu lalu, Muhammad Hafizuddin terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) sehingga mengakibatkan kecederaan serius pada bahagian tangan, bahu, kaki dan kepala.
Pakar perubatan terpaksa mengambil keputusan memotong tangan kanannya bagi mengelakkan komplikasi yang boleh mengancam nyawa, sekali gus menamatkan kerjaya kompetitifnya dalam sukan angkat berat.