MAIWP lulus 24 permohonan bina, baiki rumah di Labuan

Foto RTM

LABUAN, 25 November – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meluluskan sebanyak 24 permohonan Skim Bantuan Membina dan Membaiki Rumah di pulau ini melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.23 juta setakat bulan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bantuan pembinaan rumah baharu berjumlah RM100,000, dengan tambahan RM20,000 untuk perabot dan kelengkapan asas.
  • MAIWP menghargai pembayar zakat dan menggalakkan mereka meneruskan sumbangan bagi membantu golongan asnaf, termasuk di Labuan.
  • Seramai 18 pesakit hemodialisis menerima bakul makanan bernilai RM150 setiap seorang, manakala bantuan dialisis diluluskan untuk 34 pesakit.

Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata setiap pembinaan rumah baharu diperuntuk bantuan sebanyak RM100,000, manakala tambahan RM20,000 lagi disediakan bagi keperluan perabot dan kelengkapan asas kediaman.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pembayar zakat yang membolehkan agihan bantuan tersebut terus dilaksanakan secara menyeluruh kepada golongan memerlukan.

“Alhamdulillah, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pembayar zakat kerana tanpa mereka, tidak mungkin MAIWP dapat mengagihkan bantuan ini.

“Kami berharap pembayar zakat akan terus menunaikan kewajipan melalui Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) supaya kami dapat terus membantu golongan asnaf bukan sahaja di Kuala Lumpur dan Putrajaya, malah di Labuan yang sangat memerlukan sokongan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis simbolik penyerahan bantuan rumah baharu kepada seorang pesara kerajaan, Jamal Ngadi, 79, di Kampung Lubok Temiang, di sini.

Sementara itu, delegasi MAIWP turut mengadakan lawatan ke Pusat Hemodialisis UniMAIWP di Kampung Layang-Layangan dan menyantuni seramai 18 pesakit yang sedang menjalani rawatan, selain menyampaikan sumbangan bakul makanan bernilai RM150 kepada setiap pesakit.

“MAIWP juga telah meluluskan Skim Bantuan Dialisis kepada 34 pesakit di Labuan melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.3 juta setakat Oktober lalu,” jelas beliau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.