
KUANTAN, 25 November – Sebanyak RM4.6 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri Pahang menerusi Tabung Malapetaka Daerah (TMD) bagi membantu mangsa bencana sepanjang tempoh 2022 hingga 2026.
- Setakat Oktober 2026, RM4.5 juta dibelanjakan untuk membantu 6,290 penerima di seluruh Pahang.
- Bantuan TMD meliputi ribut, kebakaran, kematian dan bencana lain seperti tanah runtuh serta rumah dihempap pokok.
- Setiap daerah menerima RM50,000 sebagai dana apungan untuk menyalurkan bantuan bencana dengan segera.
- Peruntukan tahunan TMD meningkat daripada RM500,000 pada 2022 kepada RM1.1 juta pada 2026.
Setakat Oktober tahun ini, sejumlah RM4.5 juta telah dibelanjakan bagi menyalurkan bantuan kepada 6,290 penerima di seluruh negeri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan itu meliputi empat kategori utama, iaitu ribut, kebakaran, kematian serta bencana lain termasuk tanah runtuh, rumah dihempap pokok dan kejadian lemas.
Menurutnya, TMD merupakan salah satu komponen di bawah Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang (KWAMP) yang membolehkan bantuan diuruskan di peringkat daerah.
“Kita menyalurkan RM50,000 kepada setiap tabung di setiap daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah masing-masing.
“Ianya dalam bentuk apungan, bermakna kalau sekiranya berlaku bencana alam dan kita tidak tahu bila berlaku, Pengerusi Tabung Malapetaka Daerah boleh menggunakan wang ini untuk menyalurkan bantuan dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri Tanah Rata, Ho Chi Yang pada persidangan Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini.
Jelasnya lagi, sekiranya dana sedia ada tidak mencukupi, Jawatankuasa Pengurusan TMD Daerah boleh mengemukakan permohonan peruntukan tambahan kepada kerajaan negeri.
Peruntukan tahunan TMD meningkat daripada RM500,000 pada 2022 kepada RM1.1 juta pada 2026.