Pemergian A. Samad Said kehilangan besar dunia sastera

Az Abd Samad/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 November – Pemergian Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri Dr A. Samad Said, 94, disifatkan meninggalkan legasi dan kenangan besar dalam dunia kesusasteraan tanah air.

RINGKASAN BERITA AI
  • Allahyarham menjadi sumber inspirasi kepada generasi penulis dan masyarakat melalui karya serta kehidupannya.
  • Anaknya, Az Abd Samad, menyifatkan pemergian beliau sebagai kehilangan besar buat keluarga.
  • Beliau aktif, gemar berjalan, mengamalkan pemakanan sederhana, rajin membaca dan berkongsi ilmu.
  • Solat jenazah dijadualkan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq sebelum Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham bukan sahaja dikenali menerusi karya-karya sastera yang bernilai tinggi, malah turut menjadi sumber inspirasi kepada generasi penulis dan masyarakat secara keseluruhan.

Berkongsi detik terakhir bersama bapa tersayang, anak Allahyarham, Az Abd Samad menyifatkan pemergian tokoh sastera negara itu sebagai satu kehilangan yang amat besar buat keluarga mereka.

“Saya bersyukur, Allahyarham berpeluang menjalani kehidupan yang panjang hingga usia 94 tahun, selain dikelilingi keluarga dan insan-insan yang menyayangi beliau,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini.

Mengenang keperibadian Allahyarham, Az turut berkongsi beberapa amalan harian bapanya yang disifatkan boleh dijadikan teladan oleh masyarakat.

“Allahyarham disifatkan sebagai seorang yang aktif, gemar berjalan, menjaga pemakanan secara bersederhana serta tidak pernah jemu membaca dan berkongsi ilmu.

“Kecintaannya terhadap ilmu dan dunia buku menjadi antara kenangan yang akan terus diingati keluarga,” jelasnya.

Dalam pada itu, solat jenazah Allahyarham dijadualkan berlangsung pada pukul 10 pagi esok di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.