ATF 10s Rugby Carnival platform cungkil bakat ragbi muda

Mohd Azmir Zainul Abidin/ RTM

KUALA LUMPUR, 24 November- Kejohanan ATF 10 Sebelah (10s) Rugby Carnival berpotensi menjadi platform mencungkil bakat baharu ragbi negara, sekali gus melahirkan generasi pelapis yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Edisi sulung menyediakan pertandingan berkualiti tinggi agar pemain muda mendapat pendedahan dalam suasana kompetitif bertaraf elit.
  • Sebanyak 72 pasukan bertanding dalam lima kategori umur, melibatkan sekolah sukan dan akademi ragbi dari beberapa negeri.
  • Format 10 sebelah membuka lebih banyak peluang kepada pemain dengan pelbagai keupayaan untuk mengembangkan potensi.
  • Penganjur merancang membentuk pasukan pilihan untuk beraksi di luar negara serta menjadikan kejohanan ini acara tahunan yang diperluas ke Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif ATF merangkap Pengarah Kejohanan, Mohd Azmir Zainul Abidin berkata penganjuran edisi sulung kejohanan itu bertujuan menyediakan platform pertandingan berkualiti tinggi kepada pemain muda, selain memberi pendedahan dalam suasana kompetitif.

Menurutnya, perkembangan ragbi remaja di Malaysia semakin positif, namun peluang mendapatkan pendedahan menerusi kejohanan berstandard tinggi perlu diperluaskan.

“Kita mahu mereka merasai pendedahan pada standard elit yang sebelum ini kebanyakannya hanya dinikmati pemain kebangsaan.

“Menerusi platform ini, kita berharap dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk berlatih lebih gigih dan suatu hari nanti berpeluang mewakili negara,” katanya.

Edisi sulung kejohanan itu menyaksikan penyertaan 72 pasukan yang bersaing dalam lima kategori iaitu Bawah 8, Bawah 10, Bawah 12, Bawah 14 dan Bawah 16 tahun.

Penyertaan membabitkan pasukan dari Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Johor, termasuk sekolah sukan serta akademi ragbi.

Format 10 sebelah yang digunakan pula dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pemain dengan pelbagai keupayaan untuk mengembangkan potensi masing-masing menerusi pertandingan kompetitif.

Mengangkat tema ‘Where Legends Are Born’, kejohanan itu turut menampilkan kapten pasukan ragbi tujuh sebelah kebangsaan, Azwan Mat Zizi sebagai duta jenama bagi menyuntik inspirasi kepada peserta.

Selain pertandingan, penganjur turut menyediakan pelbagai aktiviti berkonsepkan karnival keluarga, termasuk cabaran kemahiran ragbi bagi menarik penyertaan keluarga dan pengunjung.

Dalam pada itu, Mohd Azmir berkata, pihaknya merancang membentuk sebuah pasukan pilihan yang menghimpunkan pemain terbaik dikenal pasti sepanjang kejohanan untuk diberi peluang menyertai pertandingan antarabangsa.

“Insya-Allah, kita mahu mengumpulkan pemain terbaik daripada kejohanan ini dan membentuk sebuah pasukan ATF untuk dihantar beraksi di luar negara bagi menyertai kejohanan antarabangsa,” katanya.

ATF turut menyasarkan kejohanan itu sebagai acara tahunan sebelum diperluas ke peringkat antarabangsa menerusi penyertaan pasukan dari negara Asia, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai destinasi pembangunan ragbi remaja di rantau ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.