RM20.27 bilion lebihan cukai dipulangkan, syarikat terima RM13 bilion

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 November – Kerajaan telah menyelesaikan bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM20.27 bilion kepada 3.65 juta pembayar cukai setakat 31 Oktober 2026, termasuk RM13.036 bilion kepada syarikat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kecekapan pemprosesan, pengesahan tuntutan dan pengurusan bayaran balik terus diberi perhatian bagi meningkatkan respons terhadap komuniti perniagaan.
  • Lebih 270,000 pembayar cukai mengemukakan 2.25 bilion e-Invois setakat 23 November 2026.
  • Data e-Invois mendorong lebih 97,000 pembayar cukai mengemukakan borang nyata terdahulu, dengan cukai kena dibayar RM1.68 bilion.
  • PKPS Duti Setem menerima lebih 1.05 juta permohonan, dengan remisi penuh penalti RM184 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, kecekapan pemprosesan, pengesahan tuntutan dan pengurusan bayaran balik akan terus diberi perhatian bagi memastikan urusan percukaian lebih responsif terhadap keperluan komuniti perniagaan.

“Bayaran balik itu mencerminkan komitmen berterusan agensi berkenaan dalam meningkatkan kecekapan pentadbiran cukai serta pengurusan tuntutan bayaran balik,” katanya dalam satu kenyataan selepas Sesi Libat Urus Strategik HASiL Bersama Dewan Perdagangan dan Persatuan Perniagaan 2026.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pelaksanaan e-Invois turut mencatatkan kemajuan apabila sebanyak 2.25 bilion e-Invois dikemukakan oleh lebih 270,000 pembayar cukai setakat 23 November 2026.

Penggunaan data e-Invois turut membantu meningkatkan pematuhan cukai secara sukarela apabila lebih 97,000 pembayar cukai tampil mengemukakan borang nyata bagi tahun-tahun terdahulu, membabitkan cukai kena dibayar sebanyak RM1.68 bilion.

Sehubungan itu, HASiL akan terus memperkukuh pendidikan cukai, penerangan teknikal dan kemudahan perkhidmatan bagi membantu komuniti perniagaan menyesuaikan diri dengan keperluan pendigitalan, khususnya dalam kalangan PMKS yang mempunyai tahap kesiapsiagaan teknologi dan sumber berbeza.

Selain itu, Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) akan memasuki Fasa 2 mulai 1 Januari 2027, dengan HASiL memberikan kelonggaran tanpa penalti sepanjang 2026 bagi kesalahan mengemukakan Borang Nyata Duti Setem (BNDS) yang tidak tepat.

Sehingga 31 Oktober 2026, Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) Duti Setem yang dilanjutkan sehingga 31 Disember ini menerima lebih 1.05 juta permohonan, dengan remisi penuh diberikan terhadap penalti berjumlah RM184 juta.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.