Speedy Tigers kecewakan AS

Pasukan hoki negara meraikan jaringan ketika bertemu Amerika Syarikat pada saingan Piala Sultan Azlan Shah ke-32 di Stadium Hoki Azlan Shah / BERNAMA

IPOH, 23 November– Malaysia terus cemerlang selepas melakar kemenangan ketiga dalam kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah apabila menewaskan Amerika Syarikat, 4-2, malam ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Faizal Saari menjaringkan dua gol ketika Malaysia menewaskan Amerika Syarikat 4-2 dalam aksi Piala Sultan Azlan Shah.
  • Kemenangan itu meletakkan Malaysia berkongsi takhta liga bersama Australia dengan sembilan mata, namun dibezakan jumlah jaringan.
  • Brendon Carolan kecewa dengan persembahan pasukan dan menuntut aksi lebih baik menjelang pertemuan getir menentang Australia.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Azlan Shah menyaksikan Amerika Syarikat mendahului menerusi gol padang Wyatt Katz pada minit ke-7, meskipun pasukan negara mendominasi perlawanan di suku pertama.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Speedy Tigers memperkemas permainan sebelum Faizal Saari menyumbang gol pertama Malaysia pada minit ke-15.

Speedy Tigers kemudiannya berada di depan hasil gerakan solo Faiz Helmi Jali pada minit ke-20.

Bersambung babak kedua, anak buah Brendon Carolan terus didepan menerusi gol padang Adam Asyraf Johari pada minit ke-40.

Faizal sekali lagi mencipta nama selaku penjaring menerusi gol keempat Malaysia berselang tiga minit kemudian.

Meskipun menerima tekanan, Amerika Syarikat tetap berjaya mendapatkan gol kedua pada minit ke-52 menerusi jaringan padang Kai Kaeppeler.

Kedudukan 4-2 kekal hingga wisel penamat.

Malaysia kini berkongsi kedudukan bersama Australia di puncak liga dengan sembilan mata, namun dibezakan dengan jumlah jaringan.

Terdahulu aksi di sebelah petang menyaksikan Korea Selatan menewaskan Kanada 2-0, manakala Australia membelasah Pakistan, 5-2.

Meskipun mencatat kemenangan, pengendali negara, Brendon Caralon sedikit kecewa dengan aksi ditampilkan barisan pemainnya.

“Mereka (Amerika Syarikat) bermain dengan sangat baik dan mengimbangi permainan dengan tekanan.

“Namun bukan bermakna kami tidak bermain dengan baik. Sudah tentu kami kecewa dengan keputusan ini. Kami perlu beraksi jauh lebih baik dalam perlawanan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Amerika Syarikat, Allan Law mahu pemainnya lebih tajam di depan gol dalam menyudahkan peluang serta memanfaatkan setiap kesempatan.

Malaysia bakal berdepan cabaran getir esok apabila dijadual berdepan pasukan ranking ke-3 dunia, Australia, pada pukul 7.30 malam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.