GST perlukan penelitian, sesuaikan sistem percukaian

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 November – Pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) memerlukan penelitian menyeluruh, khususnya dari segi kesesuaian sistem percukaian serta keperluan pelaksanaannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbezaan skala penglibatan syarikat dalam sistem SST dan GST perlu diberi perhatian sebelum keputusan dibuat.
  • Sistem SST melibatkan 130,000 syarikat, manakala GST memerlukan 900,000 syarikat untuk mengutip cukai bagi pihak kerajaan.
  • Ahli Parlimen digalakkan membahaskan cadangan sistem percukaian, termasuk idea melaksanakan semula GST.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, perbezaan skala penglibatan syarikat dalam sistem SST dan GST merupakan antara aspek yang perlu diberi perhatian sebelum sebarang keputusan dibuat.

Ini termasuk dari segi keperluan sistem kutipan cukai yang akan melibatkan lebih banyak syarikat berbanding sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ketika ini.

“Yang penting ialah kita mesti meninjau dalam sistem kita, kenapa kita melaksanakan satu sistem percukaian.

“Sistem sekarang melibatkan 130,000 syarikat untuk mengutip SST bagi pihak kerajaan tetapi sistem GST kalau dilaksanakan memerlukan 900,000 syarikat untuk mengutip GST bagi pihak kerajaan.

“Ini satu perbandingan dan ada banyak lagi perbandingan yang saya harap ini boleh dibahaskan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sani Hamzan mengenai kemampuan kerajaan meneruskan pelbagai inisiatif bantuan kepada rakyat, selain memenuhi komitmen pembayaran hutang negara dan kemungkinan GST diperkenalkan semula.

Dalam pada itu, Liew menyifatkan tahun ini sebagai ujian besar kepada ekonomi negara susulan kejutan ekonomi global yang paling serius sejak krisis kewangan 2008.

Katanya, pelaksanaan BUDI95 membantu melindungi rakyat daripada kejutan kenaikan harga bahan api global, selain menangani ketirisan dan melindungi kedudukan fiskal negara.

“Walaupun ekonomi dunia mengalami kejutan paling serius sejak krisis kewangan global 2008, keadaan di negara kita masih terkawal dengan rakyat tidak terlalu terkesan oleh kenaikan harga bahan api.

“Ini kerana sistem BUDI95 bukan sahaja melindungi rakyat daripada kenaikan harga, malah membantu melindungi kedudukan fiskal negara apabila ketirisan dapat ditangani menerusi sistem yang sama.

“Pelaksanaan BUDI95 memastikan rakyat dilindungi daripada kejutan kenaikan harga bahan api global, selain mengelakkan ketirisan dalam sistem subsidi,” katanya.

Beliau turut menggalakkan Ahli Parlimen membahaskan cadangan berkaitan sistem percukaian, termasuk idea melaksanakan semula GST.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.