
KUALA LUMPUR, 23 November – Kementerian Pendidikan membuat unjuran semula bagi menentukan keperluan sebenar guru sebelum memutuskan pengambilan seramai 3,150 orang daripada kalangan calon yang memohon dan menghadiri temu duga.
- KPM membuat unjuran semula untuk memastikan pengambilan guru baharu sepadan dengan keperluan murid.
- Jumlah pendaftaran murid Tahun Satu yang lebih rendah mendorong kementerian menilai semula keperluan tenaga pengajar.
- Daripada calon yang memohon dan menghadiri temu duga, seramai 3,150 orang dipilih untuk diambil sebagai guru.
- Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan akan mengiklankan pengambilan baharu apabila ada keperluan; calon disaran mengikuti iklan rasmi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, keputusan itu dibuat selepas jumlah pendaftaran murid kohort enam tahun bagi kemasukan ke Tahun Satu pada 2027 jauh lebih rendah berbanding sasaran awal 400,000 murid.
Beliau memaklumkan, perbezaan angka yang ketara itu mendorong kementerian menilai semula keperluan tenaga pengajar supaya jumlah guru yang diambil bersesuaian dengan bilangan murid yang dijangka memasuki Tahun Satu.
“Apabila kita meneliti dan membuat unjuran, sekiranya kesemua 400,000 murid kohort enam tahun itu mendaftar, kita memerlukan 20,000 orang guru baharu yang perlu dilantik secara kontrak (COS) kerana kita tidak mempunyai bekalan tambahan daripada Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) yang telah pun diunjurkan lima tahun sebelum itu.
“Apabila kita mendapat pendaftaran, jumlahnya hanya sekitar 73,000 orang, iaitu kira-kira 17 hingga 18 peratus. Maka, Kementerian Pendidikan membuat unjuran semula untuk menentukan jumlah guru yang diperlukan.
“Itulah sebabnya kita telah membuka permohonan. Kita memanggil untuk interviu tetapi pada akhirnya kita mengambil 3,150 orang,”katanya
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) berhubung pengurangan jumlah pengambilan guru baharu susulan pelaksanaan dasar kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu pada 2027 yang pada awalnya menyasarkan 400,000 murid.
Wong berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan akan mengiklankan pengambilan baharu apabila terdapat keperluan, justeru calon yang berminat disaran mengikuti perkembangan iklan rasmi suruhanjaya itu.