MySiren diuji seluruh negara 29 November ini

Pelancaran MySiren, di bangunan Parlimen hari ini

KUALA LUMPUR, 23 November – Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) akan diuji secara serentak di seluruh negara pada 29 November ini, antara pukul 10.10 hingga 10.30 pagi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ujian bertujuan membiasakan masyarakat dengan bunyi amaran MySiren dan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.
  • Telefon pintar dengan perisian terkini akan menerima mesej ujian tanpa penggunaan data atau caj kepada pengguna.
  • Pada peringkat awal, MySiren menyalurkan amaran bencana seperti banjir dan tanah runtuh sebelum diperluas kepada insiden lain.
  • Teknologi Cell Broadcast System menyalurkan amaran kepada peranti 4G dan 5G di kawasan terjejas tanpa data, Wi-Fi atau aplikasi khusus.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ujian itu bertujuan membiasakan masyarakat dengan bunyi amaran khusus MySiren, sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan orang ramai ketika berdepan situasi kecemasan.

“Seluruh rakyat Malaysia yang memiliki telefon pintar yang telah dikemas kini dengan perisian terkini akan mendapat mesej yang sama sebagai ujian sistem amaran awal.

“Sistem ini tidak menggunakan sebarang data atau mengenakan kos kepada pengguna. Kita cuma meminta orang ramai mengikuti aspek teknikal yang akan dijelaskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan amaran itu dapat diterima pada telefon masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sistem Amaran Awal Nasional MySiren di Bangunan Parlimen, hari ini.

Ujian sistem itu turut dilaksanakan di Bangunan Parlimen pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi bagi memberi pendedahan awal kepada ahli Parlimen.

Oleh itu, beliau berharap orang ramai dapat mengenali bunyi amaran berkenaan dan tidak panik, sebaliknya mengambil tindakan sewajarnya demi keselamatan diri sekiranya berlaku kecemasan.

Menurutnya, pada peringkat awal, MySiren akan memberi tumpuan kepada penyampaian amaran berkaitan bencana seperti banjir dan tanah runtuh sebelum diperluas kepada insiden lain termasuk kebakaran serta kes kehilangan individu atau kanak-kanak.

Sistem MySiren menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) untuk menyalurkan amaran kepada semua peranti 4G dan 5G di kawasan terjejas tanpa memerlukan data, sambungan Wi-Fi atau aplikasi khusus.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.