
KUALA LUMPUR, 23 November – Penglibatan usahawan Bumiputera dalam industri automotif negara perlu diperluas menerusi penerokaan peluang eksport kenderaan, pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) serta industri kenderaan akhir hayat (ELV).
- PEKEMA mahu usahawan Bumiputera menjadi sebahagian daripada rantaian nilai dan pembangunan industri automotif negara.
- Ahli digalakkan mempelbagaikan pendapatan melalui pembangunan ekosistem EV dan industri kenderaan akhir hayat.
- Pengalaman mengimport boleh dimanfaatkan untuk mengeksport kenderaan terpakai ke Bangladesh dan Pakistan, dengan penelitian prosedur serta standard pemeriksaan.
Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, usaha itu penting bagi membolehkan syarikat ahli mempelbagaikan sumber pendapatan dan meneroka peluang perniagaan baharu seiring perubahan landskap industri automotif.
“Selepas 45 tahun penubuhannya, PEKEMA kini mempunyai 440 syarikat ahli di seluruh negara berbanding 48 syarikat pada peringkat awal.
“PEKEMA bukan sekadar sebuah persatuan, tetapi sebuah ekosistem yang perlu terus berkembang dalam persekitaran yang lebih segar dan mampan.
“Kita mahu usahawan Bumiputera bukan sahaja mengambil bahagian dalam perubahan industri, malah turut menjadi sebahagian daripada rantaian nilai dan pembangunan industri automotif negara,” katanya dalam kenyataan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PEKEMA Kali Ke-45 Tahun 2026.
Mesyuarat itu turut dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Industri), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri yang hadir mewakili Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menurut Hanafi, PEKEMA digalakkan memanfaatkan pengalaman ahlinya dalam bidang pengimportan untuk meneroka pasaran eksport kenderaan terpakai, khususnya ke Bangladesh dan Pakistan.
“Ini membuka peluang kepada syarikat ahli PEKEMA untuk memperluas skop perniagaan daripada aktiviti pengimportan kepada perdagangan automotif antarabangsa, sekali gus meneroka pasaran baharu yang berpotensi menjana nilai ekonomi kepada industri automotif tempatan.
“Perbincangan lanjut antara MITI, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta PEKEMA perlu diadakan bagi meneliti potensi kedua-dua pasaran tersebut, termasuk mekanisme dan prosedur eksport, keperluan perdagangan serta standard pemeriksaan kenderaan yang ditetapkan oleh negara pengimport,” katanya.