Jalan utama Taman Sri Sentosa dijadual diturap semula awal 2027

Datuk Seri Fahmi Fadzil/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 November – Kerja penurapan semula jalan utama Taman Sri Sentosa yang terletak dalam kawasan Parlimen Lembah Pantai akan bermula awal tahun 2027 manakala kerja membaiki jalan berlubang di kawasan perumahan sama dijangka bermula dalam tempoh terdekat.

RINGKASAN BERITA AI
  • DBKL meluluskan dana untuk membaik pulih dan menurap semula jalan dalam kawasan perumahan yang diuruskan badan pengurusan.
  • Permintaan menyediakan kawasan letak kenderaan percuma untuk penghuni Blok AC4 menunggu kelulusan Pejabat Tanah dan Galian.
  • DBKL dijadual menggantikan lif di setiap blok AC4 pada awal tahun depan.
  • Program sarapan percuma bulanan bermula 28 November; baucar kembali ke sekolah dan BAP RM200 setiap murid akan disalurkan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, usaha itu melibatkan jalan-jalan dalam kawasan perumahan yang diuruskan oleh pihak pengurusan bangunan.

“Masalah jalan dalam kawasan perumahan yang diuruskan badan pengurusan tetapi badan pengurusan tidak mampu membaiki jalan, jadi kita telah mendapat dana untuk menurap semula jalan.

“Ia bukan jalan bawah jagaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetapi bawah jagaan badan pengurusan. Pihak DBKL juga telah meluluskan dana untuk diperuntukkan bagi membaik pulih dan menurap semula jalan di Taman Sri Sentosa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Parlimen Lembah Pantai di Taman Sri Sentosa di sini.

Dalam pada itu, usaha menyediakan kawasan tempat letak kenderaan percuma untuk penghuni Blok AC4 turut dirancang bagi mengatasi masalah kekurangan parkir.

Permohonan penggunaan tanah di hadapan AC4 kini menunggu kelulusan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sebelum kerja penurapan dapat dimulakan.

DBKL juga dijadual memulakan kerja-kerja penggantian lif di setiap blok AC4 pada awal tahun depan.

Selain itu, beliau turut merancang untuk menganjurkan program sarapan percuma sebulan sekali di kawasan berkenaan, dengan sesi pertama dijangka bermula pada 28 November ini, bermula 8.00 pagi.

Dalam perkembangan berkaitan, baucar kembali ke sekolah akan disampaikan kepada penduduk di Parlimen Lembah Pantai dalam tempoh beberapa minggu akan datang bagi membantu keluarga menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM200 bagi setiap murid pula dijadual mula disalurkan pada awal tahun depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.