
KANGAR, 22 November– Kira-kira 100 peserta berusia lingkungan 13 hingga 25 tahun menyertai Program GEMPITA: Pencarian Bakat Dodgeball Perlis.
- Program mencungkil bakat dodgeball untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi dan memperkenalkan sukan kepada komuniti.
- Program bukan sekadar pertandingan tetapi platform pembangunan belia dengan penekanan komunikasi, keyakinan diri, kepimpinan, disiplin dan semangat kerja berpasukan.
- Persatuan Dodgeball Perlis berhasrat kembangkan sukan di seluruh negeri melibatkan sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian.
Program pembangunan sukan itu bertujuan mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, selain memperkenalkan sukan dodgeball kepada komuniti.
Presiden Persatuan Dodgeball Perlis, Ruzaini Rais berkata, penganjuran program berkenaan bukan sekadar pertandingan sukan, malah platform penting pembangunan belia.
Penekanan turut diberikan dalam aspek komunikasi, keyakinan diri, kepimpinan, disiplin dan semangat kerja berpasukan.
“Kita berharap Persatuan Dodgeball Perlis akan terus berkembang.
“Menerusi program ini, kita dapat lihat ramai pemain yang berminat. Insya-Allah kita akan cuba kembangkan lagi di seluruh negeri perlis, melibatkan pelajar-pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan peringkat institusi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program GEMPITA: Pencarian Bakat Dodgeball Perlis di Kompleks Belia dan Sukan Negeri.
Program itu menyaksikan Dark Lion JR muncul juara, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing diungguli pasukan Rangers DCPS Black serta UiTM Max.