
HONG KONG, 22 November – Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah mara ke final Terbuka Hong Kong 2026 selepas menewaskan rakan senegara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan pada aksi separuh akhir di Arena Kai Tak, di sini, semalam.
- Pearly-Thinaah menang 21-13, 21-19 dalam 35 minit; berdepan Sumire Nakade dan Miyu Takahashi di final.
- Pasangan itu diletakkan pilihan kedua dan berpeluang merampas kembali kejuaraan Terbuka Hong Kong 2024.
- Zi Yu-Noraqilah mencatat pencapaian apabila melangkah ke separuh akhir selepas menyingkirkan beregu pilihan keempat Taiwan.
Pasangan ranking keempat dunia itu hanya memerlukan 35 minit untuk mencatat kemenangan 21-13, 21-19, sekali gus meneruskan usaha memburu gelaran yang pernah dimenangi mereka pada 2024.
Menanti Pearly-Thinaah pada perlawanan akhir hari ini ialah pasangan Jepun, Sumire Nakade-Miyu Takahashi yang menewaskan beregu Indonesia, Amallia Cahaya Pratiwi-Siti Fadia Silva Ramadhanti, 21-16, 23-21 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan kini berpeluang merampas kembali kejuaraan selepas perjalanan mereka terhenti di separuh akhir pada edisi lalu.
Sementara itu, walaupun tewas kepada Pearly-Thinaah, namun Zi Yu-Noraqilah tetap mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya melangkah ke separuh akhir kejohanan berkenaan.
Gandingan ranking ke-41 dunia itu sebelum ini mencipta kejutan dengan menyingkirkan pasangan pilihan keempat dari Taiwan, Hsu Yin-hui-Lin Jhih Yun yang menghuni ranking keenam dunia, 21-19, 21-18 pada pusingan kedua.
Dalam pada itu, beregu campuran negara Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie gagal mara ke perlawanan akhir selepas tewas 17-21, 18-21 kepada pilihan utama China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping pada aksi separuh akhir.